Kenanga Research semak naik unjuran pendapatan FY25 Techbond sebanyak 4% didorong pemulihan industri perabot | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research semak naik unjuran pendapatan FY25 Techbond sebanyak 4% didorong pemulihan industri perabot

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Kenanga Research menyemak naik unjuran pendapatan FY25 Techbond Group Bhd sebanyak 4% didorong pemulihan industri perabot dan perkembangan pangkalan pelanggan.

 

Kumpulan itu menyaksikan peningkatan tempahan daripada industri perabot disokong penyimpanan semula stok, pelancaran baharu daripada pelanggan serta pertambahan pelanggan baharu dan kebiasaannya industri itu menyumbang kira-kira 40% daripada jumlah jualan Techbond.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menerusi Malaysian Adhesives and Chemicals (MAC) telah meluasan capaian pasarannya kepada pemain huluan dalam industri itu.

 

"Sebelum ini Techbond hanya memberi fokus kepada produk pelekat permukaan yang digunakan pada sambungan kayu dan kayu berlamnina. 

 

"Dengan kehadiran MAC, kumpulan itu kini boleh membekalkan produk pelekat yang digunakan dalam pengeluaran pelbagai papan dan produk pembungkusan kertas selain meningkatkan kehadirannya sebagai penyedia pelekat sehenti dalam industri perabot," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kenanga Research berkata, kilang polimer huluannya di Vietnam mencatatkan peningkatam kadar penggunaan kepada 50% berbanding 30% pada 2QFY24.

 

Katanya, pada masa ini, kira-kira 30% daripada pengeluaran polimer digunakan secara dalaman iaitu sebagai bahan mentah untuk pengeluaran produk pelekat bakinya dijual kepada pesainganya di dalam pasaran.

 

"Secara taktikalnya, Techbond memilih untuk menjual produk polimernya lepada pengeluar pelekat yang tidak bersaing secara langsung dari segi jenis produk serta pasara geografinya seperti contoh kepada pengeluar syarikat yang berpangkalan di China kerana kumpulan itu tidak mempunyai kehadiran di negara itu. 

 

"Setakat ini, mereka sudah meraih lebih daripada lima pelanggan dan sedang dalam rundingan bersama sepuluh lagi bakal pelanggan dengan beberapa daripadanya berpangkalan di China," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai kumpulan itu kerana menjadi pembekal rumusan serta pengilang dengan model perniagaan tertumpu kepada pelanggan, asas pelanggan yang kukuh merentas sektor pengguna dan perabot selain peningkatan kehadiran dalam operasi huluan melalui MAC.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu 50 sen berbanding 45 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com