Kejuruteraan Asastera, PT CNEC, Trascend Global meterai MoU pacu penyelesaian tenaga mampan di Asia | DagangNews Skip to main content

Kejuruteraan Asastera, PT CNEC, Trascend Global meterai MoU pacu penyelesaian tenaga mampan di Asia

(Dari kiri) Datuk Lai Keng Onn, Presiden Pengarah PT CNEC, Wu Xi Nan dan Ketua Pengarah Eksekutif Transcend Global Limited, Sharifah Azzuwati Syed Mohamad
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mei - Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat untuk mewujudkan usaha bersama pembangunan projek penyelesaian tenaga mampan (SES) di Asia.

 

MoU tersebut telah dimeterai melalui anak syarikatnya, KAB Energy Holdings Sdn Bhd dengan Transcend Global Limited (TGL) dan  anak syarikat China National Nuclear Corporation (CNNC Group), PT. CNEC Engineering Indonesia (PT CNEC).

 

PT CNEC membawa kepakaran meluas dalam pembinaan loji tenaga nuklear, terminal LNG, ladang tangki bahan api, operasi perlombongan, loji penjanaan kuasa alternatif dan banyak lagi.

 

Sementara itu, TGL, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang dikaitkan dengan Dana Hijau Serantau, mengkhusus dalam pegangan pelaburan, perdagangan produk tenaga, memajak peralatan dan jentera berat, aktiviti penggabungan dan pemerolehan dan pelaburan dalam industri pertumbuhan tinggi.

 

Menurut satu kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata KAB Energy dan PT CNEC akan bekerjasama mengenal pasti dan membangunkan pelbagai projek.

 

Sementara itu, TGL akan membantu dalam menjalankan kajian kemungkinan kewangan untuk projek yang disenarai pendek dan memudahkan penggabungan dan pemerolehan (M&A) projek syarikat bertujuan khas (SPV).

 

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata semua pihak akan memanfaatkan gabungan kepakarannya di bawah MoU itu bagi menyediakan perniagaan serantau dengan penyelesaian kejuruteraan untuk tenaga yang mampan, hijau dan bersih.

 

Beliau berkata, KAB akan mencadangkan projek untuk semakan bersama dengan PT CNEC bagi menilai kebolehlaksanaan mereka.

 

Selain itu, kumpulan akan menyumbang kepakaran teknikal, nasihat dan pengalaman luasnya semasa kajian kebolehlaksanaan.

 

"Projek cadangan itu merangkumi seluruh Asia termasuk sistem suria 100MW di Thailand, pembangunan ladang angin, penyahgaraman dan loji rawatan air di Filipina, pembangunan loji kuasa di Malaysia dan inisiatif seperti loji penyinaran, pemajakan jentera dan peralatan, terminal mini LNG, dan perdagangan bahan dan peralatan di Indonesia,” ujar beliau.

 

Menurut Keng Onn, senarai projek cadangan ini menunjukkan komitmen kumpulan mengejar projek tenaga mampan yang lebih besar dan bercita-cita tinggi justeru memacu lagi pertumbuhan segmen SES.

 

Langkah ini adalah selaras dengan keseluruhan strategi perniagaan kumpulan dalam mengembangkan rangkaian penyelesaian untuk segmen SES bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat, tambahnya. -DagangNews.com