Kadar pengangguran Jun 2024 kekal 3.3%, Kedah, Selangor terendah 2Q 2024 -DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Jun 2024 kekal 3.3%, Kedah, Selangor terendah 2Q 2024 -DOSM

Kadar pengangguran kekal 3.3% pada Jun 2024. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kadar pengangguran bulan Jun 2024 berada pada tahap 3.3%, kekal tidak berubah untuk tempoh lapan bulan sejak November 2023.

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penganggur pada Jun 2024 terus menurun kepada 565,300 orang berbanding Mei 2024, 566,100 orang.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kedudukan tenaga buruh negara kekal dalam trend pertumbuhan positif dengan sedikit peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala penganggur terus menurun berikutan perkembangan kedudukan ekonomi. 

 

 

"Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus meningkat pada bulan Jun 2024, dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1% kepada 17.17 juta orang (Mei 2024: 17.15 juta orang), mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi pada bulan tersebut iaitu pada 70.4% (Mei 2024: 70.3%),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

jun

 

Selanjutnya, Dr. Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja pada bulan Jun terus meningkat sebanyak 0.2% kepada 16.61 juta orang (Mei 2024: 16.58 juta orang). 

 

“Daripada jumlah penduduk bekerja pada bulan tersebut, 75.0% adalah dalam kategori pekerja. Kategori ini mencatatkan kenaikan bulanan sebanyak 0.1% kepada 12.46 juta orang (Mei 2024: 12.44 juta orang). 

 

"Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri kekal pada trend positif, dengan peningkatan 0.3% kepada 3.06 juta orang (Mei 2024: 3.05 juta orang),” jelasnya.

 

Menjelaskan lanjut situasi pengangguran, Dr. Mohd Uzir berkata, daripada jumlah penganggur pada bulan tersebut, 79.9% adalah penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan. 

 

Katanya, dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga
bulan merangkumi 61.5%, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun meliputi 7.0%. 

 

"Begitu juga, mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia atau penganggur tidak aktif, turun sebanyak 0.5% kepada 113,400 orang (Mei 2024: 114.0 ribu orang).

 

"Pada bulan Jun 2024, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.5%, mencatatkan 305,000 penganggur belia (Mei 2024: 10.5%; 305,600 orang).

 

Mengulas prestasi keseluruhan bagi suku tahun kedua 2024, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, pada suku tahun tersebut, bilangan tenaga buruh mencatatkan trend positif, dengan peningkatan sebanyak 1.1% kepada 17.15 juta orang (1Q 2024: 16.96 juta orang).

 

Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, negeri Kedah mencatatkan kadar pengangguran terendah iaitu pada 1.7% pada suku tahun ini, diikuti oleh negeri Selangor (1.8%), Pulau Pinang (1.8%), W.P. Putrajaya (2.1%), dan Negeri Sembilan (2.1%). 

 

Sementara itu, sepuluh negeri mempamerkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan penyertaan buruh yang lebih tinggi dalam pasaran. 

 

"Negeri Selangor mencatatkan KPTB tertinggi iaitu pada 76.3 peratus, W.P. Kuala Lumpur berada di kedudukan kedua dengan 75.4 peratus, diikuti oleh negeri Pulau Pinang (73.5%) dan W.P. Putrajaya (73.4%)," katanya.

 

Mengakhiri kenyataan tersebut, Dr Mohd Uzir berkata, ekonomi Malaysia dilihat stabil, dengan aktiviti ekonomi yang kukuh yang disumbangkan oleh faktor domestik dan eksport yang berterusan, pasaran pekerjaan yang lebih baik dan pertumbuhan positif dalam sektor Pertanian dan Pembinaan.  - DagangNews.com