Isu PJD Link: Jangan permainkan pengundi Selangor, Bersatu bidas Amirudin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu PJD Link: Jangan permainkan pengundi Selangor, Bersatu bidas Amirudin

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan tindakan Datuk Seri Amirudin Shari yang membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link), memandangkan beliau kini hanya menteri besar sementara Selangor.

 

Timbalan Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata, Amirudin hanya membuat pengumuman pembatalan tersebut pada Isnin lepas semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri tersebut ketika ini.

 

"Bolehkah kerajaan sementara atau menteri besar sementara membuat keputusan yang memberi kesan seperti ini? Selepas pengumuman dibuat, pelbagai individu dan pertubuhan bukan kerajaan menyambut baik keputusan itu, tetapi betul-betul mempersoalkan kesahihan pengumuman dan aku janji sedemikian yang dibuat oleh menteri besar sementara.

 

"Mengapa pengumuman ini dibuat semasa tempoh pilihan raya, dan bukan pada bila-bila masa sebelum ini?" soalnya.

 

Pada masa sama, Sasha turut membidas Amirudin yang memaklumkan bahawa projek PJD Link mungkin akan dihidupkan semula jika ia mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan negeri.

 

"Adakah beliau mempermainkan hati dan fikiran pengundi Petaling Jaya? Atau adakah kempen tidak berprinsip ini diamalkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional?

 

"Amirudin juga bertanding sebagai calon di Sungai Tua, dan beliau tiada hak membuat janji seperti ini di tengah-tengah kempen pilihan raya," katanya.

 

 

pjdlink
                                                                  Gambar Facebook Say No To PJD Link

 

 

Isnin lalu, Kerajaan Negeri Selangor membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya PJD Link berikutan tidak menepati syarat yang ditetapkan.

 

Amirudin berkata, ini kerana kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan cadangan itu terutama apabila mengambil kira laporan penilaian impak.

 

Susulan pengumuman itu, media melaporkan, Amirudin memberi bayangan bahawa lebuh raya kontroversi itu mungkin dihidupkan semula apabila ia memenuhi keperluan.

 

 

pjdlink

 

 

PJD Link yang dicadangkan ialah lebuh raya empat lorong sepanjang 25.4 kilometer yang bermula selepas plaza tol Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di Lebuhraya SPRINT, Damansara dan berakhir di persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

 

BACA JUGA: Kerajaan Selangor batal permohonan projek lebuh raya PJD Link berikutan tidak menepati syarat - Menteri Besar

 

Ia akan menghubungkan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Pusat Bandar Petaling Jaya, Taman Dato’ Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara, dan Taman Teknologi Bukit Jalil. - DagangNews.com