Iris Corp peroleh lanjutan kontrak NIISe selama setahun | DagangNews Skip to main content

Iris Corp peroleh lanjutan kontrak NIISe selama setahun

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mei - Kontrak Iris Corp Bhd untuk menyediakan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) kepada kerajaan telah dilanjutkan selama 12 bulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia produk dan rumusan identiti itu berkata, anak syarikat milik penuhnya Iris Information Technology Systems Sdn Bhd (IITS) pada 23 Mei 2023 menerima surat lanjutan kontrak daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

 

KDN bersetuju untuk melanjutkan tempoh kontrak selama 12 bulan mulai 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2026.

 

"Berikutan pelanjutan tempoh kontrak NIISe, IITS dikehendaki melanjutkan tempoh sah berkaitan bon pelaksanaan untuk tempoh 12 bulan sehingga 31 Ogos 2027," katanya.

 

Kontrak NIISE bernilai RM1.16 bilion telah diberikan kepada IITS pada Januari 2021, untuk tempoh 54 bulan bermula dari 1 Mac 2021 hingga 31 Ogos 2025.

 

Sementara itu, pada Februari, Iris memeterai perjanjian penjualan saham untuk menjual 80% kepentingan ekuiti dalam IITS dengan wang tunai RM70 juta kepada Tass Tech Technologies Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh Tass Tech (M) Sdn Bhd (TTSB).

 

Perjanjian itu dijangka dimuktamadkan pada bulan Ogos.

 

Iris menyatakan bahawa pelupusan itu akan membolehkan kumpulan membuka kunci nilai pelaburannya dalam IITS dan menyumbang secara positif kepada aliran tunainya, dengan hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk modal kerja dan sebarang pengembangan perniagaan pada masa hadapan. - DagangNews.com