KUALA LUMPUR 22 Sept - Inflasi Malaysia kekal 2% pada Ogos 2023 dengan mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan inflasi didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel sebanyak (4.7%), dan makanan dan minuman bukan alkohol (4.1%), diikuti kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan serta kesihatan masing-masing meningkat 2.4%.
Menurut beliau, kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, menyumbang 29.5% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP), telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.1%.
Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan marginal 2.9% pada Ogos 2023 berbanding 3.0% yang direkodkan bulan sebelumnya, didorong terutamanya oleh subkumpulan daging (5.8%), diikuti subkumpulan beras, roti dan bijirin lain serta susu, keju dan telur, yang masing-masing meningkat 4%.
Selain itu, komponen makanan di luar rumah mereda kepada 5.9% berbanding 6.2% yang direkodkan pada Julai 2023, di mana antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah nasi campur, sate dan nasi ayam.
Sementara itu, inflasi restoran dan hotel meningkat perlahan kepada 4.7% pada bulan Ogos 2023 berbanding 5% pada Julai 2023, terutamanya disebabkan subkumpulan perbelanjaan di restoran dan kafe meningkat lebih rendah kepada 4.5% berbanding 4.9% pada Julai 2023.
Manakala subkumpulan perkhidmatan penginapan turut merekodkan peningkatan lebih rendah kepada 5.1% berbanding 5.7% pada Julai 2023.
Subkumpulan perkhidmatan pengangkutan dan pembelian kenderaan masing-masing meningkat sebanyak 3.5% dan 0.7%, namun sedikit sebanyak diimbangi penurunan inflasi subkumpulan pengurusan alat pengangkutan persendirian adalah negatif 0.3%.
Tambahan pula, penurunan harga minyak petrol tanpa plumbum RON97 kepada 23.4% pada bulan Ogos 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Ogos 2022 (RM4.40 seliter) merupakan penyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini.
Mohd Uzir berkata, berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2%.
Bagaimanapun, hanya tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.4%), Putrajaya (2.7%), Perlis (2.4%), Perak (2.3%), Selangor (2.3%), Pahang (2.2%) dan Melaka (2.1%).
Inflasi keseluruhan secara bulanan pada Ogos 2023 meningkat marginal kepada 0.2% berbanding 0.1% pada Julai 2023, manakala inflasi teras meningkat 2.5% berbanding 2.8% bulan sebelumnya namun masih melepasi kadar inflasi negara (2%).
Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Zon Euro (5.3%), Filipina (5.3%), Republik Korea (3.4%), Indonesia (3.3%) dan Vietnam (3%). - DagangNews.com








