Indeks Pelopor catat peningkatan 3.2% kepada 112 mata pada Januari 2024 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pelopor catat peningkatan 3.2% kepada 112 mata pada Januari 2024 - DOSM

Indeks Pelopor mencatatkan pertumbuhan 3.2% kepada 112 mata pada Januari 2024. - Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) meneruskan momentum peningkatan dengan mencatatkan pertumbuhan 3.2% kepada 112 mata pada Januari 2024 berbanding 108.5 mata pada bulan sama tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu dipacu terutamanya kenaikan kukuh dalam Bilangan Syarikat Baru Didaftar (38.1%) dan Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (31.4%). 

 

"Merujuk kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan 1.6% pada bulan rujukan berbanding 0.3% pada bulan sebelumnya berikutan prestasi yang memberangsangkan dalam Import Benar Logam Asas Berharga & Logam Bukan Ferus Lain (0.7%)," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Menurut Mohd Uzir, dari segi arah aliran jangka panjang terlicin pada Januari 2024, IP kekal di bawah trend 100 mata. 

 

Beliau berkata, meskipun masih berada di bawah trend, lonjakan dalam prestasi IP menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang lebih menggalakkan dalam tempoh terdekat susulan pemulihan dalam perdagangan luar.

 

Katanya, berhubung keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya sejak September 2021 dengan mencatatkan 124.1 mata, meningkat 3.2% berbanding 120.2 mata pada bulan sama tahun sebelumnya. 

 

 

dosm

 

 

"Peningkatan ini disumbangkan prestasi yang baik bagi semua komponen. Prestasi bulanan IS pulih semula kepada 0.2% berbanding negatif 0.2% pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian dan Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan, masing-masing menyumbang 0.3%," katanya. - DagangNews.com