Ibu bapa disaran agar prihatin juga keperluan penglihatan anak istimewa | DagangNews Skip to main content

Ibu bapa disaran agar prihatin juga keperluan penglihatan anak istimewa

Golongan istimewa ini juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghadapi masalah penglihatan yang lain. - Gambar Hiasan oleh Nathan Anderson
Oleh Mohammad Nor Fitri Hasan

ANAK istimewa atau anak kurang upaya merupakan anak syurga yang dianugerahkan oleh Allah kepada ibu bapa yang terpilih. Pengorbanan memelihara anak ini merupakan satu amanah dan ujian bagi menilai tahap keimanan dan kesabaran pasangan tersebut.

 

Berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2008 oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, orang kurang upaya (OKU) boleh didefinisikan sebagai mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam
masyarakat.

 

Mengikut statistik pendaftaran OKU di Malaysia, sehingga 31 Januari 2023 seramai 637 537 orang daripada 4 kumpulan etnik telah pun didaftarkan.

 

Ia merangkumi tujuh kategori kelainan upaya yang dikelaskan oleh JKM iaitu pengihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai dengan jumlah pendaftaran teramai adalah dari negeri Selangor iaitu seramai 104,909 orang.

 

Daripada jumlah keseluruhan pendaftaran, kategori kelainan upaya pembelajaran merupakan kategori teramai yang mendaftar dengan julat umur kurang daripada 6 tahun sehingga umur 60 tahun ke atas.

 

Antara contoh kelainan upaya yang dikategorikan dalam kategori kelainan upaya pembelajaran adalah seperti Sindrom Down, Autisma, Disleksia, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan Global Developmental Delay (GDD).

 

Golongan ini harus dibantu bagi mengendalikan ketidakupayaan perubatan, mental dan psikologi mereka kerana beberapa hasil kajian telah mendapati terdapat kesukaran untuk mereka mengakses perkhidmatan penjagaan mata atau informasi yang diterima tidak difahami sepenuhnya.

 

Mungkin segelintir ibu bapa merasakan pemeriksaan mata untuk anak istimewa ini tidak dapat dilakukan kerana mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk memahami arahan klinikal. 

 

Data Luar Negara

Namun tanggapan ini adalah salah sama sekali kerana kajian yang dijalankan pada tahun 2010 terhadap golongan kanak-kanak istimewa di Scotland membuktikan 95% daripada 240 orang subjek dapat memberikan kerjasama dalam penilaian lengkap dan hampir lengkap fungsi visual.

 

Pegawai Optometri dan Pakar Oftalmologi merupakan satu profession yang terlatih untuk menjalankan pemeriksaan penglihatan kepada kanak-kanak kelainan upaya. 

 

Pemeriksaan penglihatan dijalankan menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan individu kanak-kanak kelainan upaya itu sendiri. Pemeriksaan akan dijalankan secara objektif untuk memeriksa tahap penglihatan dan ralat refraksi kanak-kanak kelainan upaya.

 

Pemeriksaan secara subjektif juga akan dijalankan jika mereka dapat berinteraksi dengan baik. Pemeriksaan mata seawal mungkin adalah sangat penting kerana mereka lebih cenderung untuk mempunyai masalah penglihatan dan sekiranya kegagalan deria penglihatan ini diabaikan, ia akan menyekat perkembangan semua deria yang lain.

 

Perkara ini disokong oleh hasil kajian yang dijalankan di Oman terhadap 70 orang kanak-kanak istimewa dan 175 orang kanak-kanak normal.

 

Kajian mendapati 50.8% daripada golongan istimewa ini mempunyai masalah ralat refraksi atau rabun berbanding hanya 2.9% sahaja daripada kumpulan normal.

 

Masalah ralat refraksi yang terlibat adalah 27.1% mempunyai masalah astigmatism atau rabun silau, 24.3% mempunyai masalah myopia atau rabun jauh manakala 18.6% pula mempunyai masalah hyperopia atau rabun dekat.

 

Selain itu, golongan istimewa ini juga mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghadapi masalah penglihatan yang lain seperti juling, blepharitis, masalah saluran nasolakrimal, kongenital katarak dan keratoconus yang lebih cenderung untuk dihadapi oleh kanak-kanak Sindrom Down.

 

Kajian di Turki mendapati bahawa 97.4 % kanak-kanak Sindrom Down mempunyai masalah penglihatan seperti nystagmus, juling, rabun dekat, astigmatism dan juga katarak kongenital berbanding peratusan kanak-kanak normal yang mempunyai masalah penglihatan hanya 42.4 peratus%.

 

Kajian lain terhadap kanak-kanak autisme turut mendapati sejumlah 26.9% menghadapi masalah penglihatan dimana 22% daripada mereka menghadapi masalah ralat refraksi atau rabun manakala 8.6% pula menghadapi masalah juling.

 

Manakala di India pula, 88.3% kanak-kanak Global Developmental Delay (GDD) mempunyai masalah penglihatan yang menunjukkan rabun adalah peratusan terbanyak iaitu 74.7% diikuti masalah juling & katarak.

 

Punca masalah ini berlaku dikaitkan dengan beberapa faktor risiko seperti kekurangan berat semasa lahir, tidak cukup umur semasa kelahiran dan juga serangan sawan.

 

Situasi di Malaysia

Di Malaysia masih lagi terdapat kekangan hasil kajian mengenai tahap penglihatan kanak-kanak kelainan upaya.

 

Jadi, kita dapat melihat bahawa banyak hasil kajian yang dijalankan terhadap kanak-kanak istimewa ini mendapati terdapat banyak masalah mata terutamanya masalah ralat refraksi atau rabun yang lebih tinggi berbanding rakan sebaya mereka yang normal.

 

Jika dikenal pasti dan dirawat dengan lebih awal, penglihatan yang optimum dapat memberikan kualiti hidup yang lebih baik untuk kanak-kanak istimewa ini. 

 

Terdapat Klinik Pakar Oftalmologi menawarkan perkhidmatan pemeriksaan penglihatan, ralat refraksi dan rawatan bagi golongan kanak-kanak istimewa ini - DagangNews.com

 

Mohammad Nor Fitri Hasan adalah Pegawai Optometri di Jabatan Oftalmologi, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah
Universiti Putra Malaysia