KUALA LUMPUR 9 Sept - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research positif terhadap prospek OSK Holdings Bhd terutama selepas kumpulan itu mengambil alih aset Universal Cable (M) Berhad bagi mengembangkan keupayaannya dalam segmen kabel voltan tinggi.
Katanya, permintaan untuk kabel voltan tinggi dijangka meningkat, didorong oleh pengembangan loji tenaga solar, pusat data dan grid infrastruktur.
"Kabel voltan tinggi biasanya menawarkan margin keuntungan yang lebih tinggi berbanding kabel voltan rendah dan sederhana, meletakkan kumpulan untuk memanfaatkan peluang yang lebih menguntungkan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pada FY23, segmen kabel mencatatkan hasil sebanyak RM344 juta dan untung kasar sebanyak RM35 juta, membentuk 6.3% daripada keseluruhan untung kasar kumpulan.
ARTIKEL BERKAITAN: OSK ambil alih aset Universal Cable pada harga RM85 juta
Katanya, pada September 2024, berikutan pentauliahan penuh jentera baharu dan pengoptimuman pengeluaran, kumpulan itu berjaya meningkatkan kapasiti pengeluaran dengan anggaran 30%.
"Dengan pemerolehan aset Universal Cable, kapasiti dijangka terus berkembang, berpotensi menggandakan tahap pengeluaran semasa, meletakkan kumpulan untuk pertumbuhan ketara dalam segmen kabel," katanya.
HLIB berkata, dengan kapasiti yang diperluaskan, segmen itu berpotensi menjana pendapatan tahunan sehingga RM900 juta dengan mengandaikan kadar penggunaan melebihi 90%.
Katanya, berdasarkan andaian margin untung kasar yang serupa sebanyak 10% seperti FY23, ia diterjemahkan kepada potensi keuntungan sekitar RM90 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, terdapat potensi peningkatan margin melalui pengoptimuman operasi serta campuran produk margin yang lebih tinggi daripada kabel voltan tinggi.
"Kilang Universal Cable sudah pun beroperasi, dan OSK menjangkakan peralihan yang lancar, bertujuan untuk menstabilkan operasi menjelang pertengahan FY25.
"Walaupun mungkin terdapat kerugian operasi awal yang minimum, ia dijangka dapat dikawal dengan baik oleh operasi sedia ada.
"Selepas pengambilalihan, penggearan bersih OSK diunjurkan meningkat sedikit kepada 41.6%, meningkat daripada 40.2% pada 30 Jun 2024," katanya.
HLIB mengekalkan aranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.47 sesaham. - DagangNews.com








