HLIB kekal saranan 'beli' terhadap Sunway dengan harga sasaran lebih tinggi RM3.76 sesaham | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' terhadap Sunway dengan harga sasaran lebih tinggi RM3.76 sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mac - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Bhd dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak RM3.76 berbanding RM3.10 sesaham.

 

Katanya, segmen pernjagaan kesihatan Sunway mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun empat tahun sebanyak 34.9% dalam pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19) hingga FY23 manakala margin EBITDA sebanyak 26% atas julat purata industri.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penilaian Sunway Healthcare Group yang dijangka disenaraikan menjelang akhir FY27 berpotensi antara RM22.4 bilion hingga RM28.9 bilion mencerminkan kelebihan daya saingnya.

 

Mereka menjangkakan, Sunway Healthcare dapat mengekalkan momentum pertumbuhannya disokong pengembangan yang kukuh serta permintaan penjagaan kesihatan yang semakin meningkat kesan daripada populasi yang semakin menua, peningkatan pelancongan perubatan serta penembusan insurans yang lebih tinggi.

 

"Kepelbagaian portfolio perniagaan Sunway membantu kemajuan ekonomi Malaysia, memberikan peluang kepada pelabur untuk memiliki sebahagian daripada trajektori pertumbuhan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan TP lebih tinggi sebanyak RM3.76 berbanding RM3.10 sesaham sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, dengan pendedahan kumpulan yang semakin meluas dalam ekonomi Malaysia, pelaburan yang dibuat adalah sama seperti memiliki sebahagian daripada ekonomi domestik yang sedang memasuki fasa pertumbuhan baharu.

 

Katanya, walaupun berlaku lonjakan harga saham baru-baru ini mencerminkan peningkatan perhargaan pelabur terhadap model perniagaan Sunway, namun masih terdapat potensi peningkatan yang lebih tinggi.

 

"Perniagaan bersepadu kumpulan itu adalah saling melengkapi secara sinergi dan sekali gus meningkatkan nilai keseluruhan," katanya. - DagangNews.com