Hibuscus Petroleum akan hapus kira RM27 juta bagi telaga tidak berdaya maju secara komersial | DagangNews Skip to main content

Hibuscus Petroleum akan hapus kira RM27 juta bagi telaga tidak berdaya maju secara komersial

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 1 Mac - Hibiscus Petroleum Bhd mengumumkan akan menghapus kira kos modal RM27 juta untuk salah satu telaga penerokaannya, selepas mendapati jumlah hidrokarbon dalam telaga itu mungkin tidak berdaya maju secara komersial.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Hibuscus Petroleum berkata, hapus kira anggaran kos modal telaga cari gali South Furious Merah dijangka dilakukan dalam penyata kewangan Kumpulan bagi suku berakhir 31 Mac 2024

 

Kempen penggerudian penerokaan oleh anak syarikat Hibiscus Petroleum SEA Hibiscus Sdn Bhd (SEA-H) terdiri daripada tiga telaga penerokaan, iaitu South Furious Ungu, South Furious Ungu ST dan South Furious Merah.

 

Penggerudian itu untuk menilai prospektif lokasi cari gali medan berhampiran dalam sempadan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Perolehan Semula Minyak Dipertingkat Sabah Utara 2011.

 

"Kempen ini pada awalnya bermula di lokasi telaga South Furious Ungu pada 29 Oktober 2023 dan kemudiannya berpindah ke lokasi South Furious Merah pada 19 Jan 2024, selepas menggerudi telaga South Furious Ungu ST," katanya.

 

Hibiscus Petroleum berkata, kos modal, jumlah bersih daripada cukai kepada SEA Hibiscus, yang dianggarkan untuk telaga Ungu dijangka kira-kira RM54 juta.

 

Syarikat itu kini sedang menilai data yang dikumpul daripada operasi penggerudian Ungu.

 

Hibiscus Petroleum berkata, rawatan kos telaga Ungu dalam penyata kewangan akan ditentukan sebaik sahaja ia mengesahkan keputusan akhir dari telaga Ungu, dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

 

"Semua kos modal dibiayai daripada sumber dalaman, dan kos yang berkaitan dengan kempen itu telah dimasukkan dalam bank pemulihan kos SEA Hibiscus," katanya.

 

Pada sesi rehat tengah hari, saham Hibiscus tidak berubah pada RM2.53.- DagangNews.com