KUALA LUMPUR 11 Mac - Sebanyak 78% daripada responden dalam kaji selidik Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) mendedahkan mungkin akan menaikkan harga produk mereka susulan cukai perkhidmatan yang diperluaskan ke sektor logistik.
Dapatan Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM 2H2023 menunjukkan 25% daripada responden menanggung kos logistik sebanyak 3% hingga 5% daripada kos produk mereka iaitu kos operasi dan pengeluaran.
Kata Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, 22% responden pula menganggarkan kos logistik mereka meningkat pada 1% hingga 3% manakala 21% lagi mengunjurkan peningkatan 5% hingga 7%.
"Cukai baharu itu, menurut 78% responden, dijangka menaikkan harga produk mereka. Untuk mengurangkan kesan cukai ke atas kos pengilangan mereka, 59% mengesyorkan supaya cukai perkhidmatan dikecualikan untuk urus niaga perdagangan.
"Satu lagi syor oleh 58% daripada responden adalah untuk semua pengilang di bawah lesen Cukai Jualan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan untuk mengelakkan percukaian cukai (cukai atas cukai).
"Sebanyak 49% responden pula meminta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula," katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: FMM: GST lebih baik daripada SST yang dinaikkan kepada 8 peratus
Sebanyak 613 responden di seluruh negara terlibat dalam tinjauan yang dijalankan ke atas ahli-ahli FMM dari 12 Januari hingga 26 Februari lalu.
Sementara itu, Thian Lai berkata, sebanyak 83% responden berpendapat bahawa langkah cukai baharu, seperti yang diumumkan dalam Bajet 2024, berkemungkinan akan memberi kesan kepada perniagaan mereka.
"Ini khususnya melibatkan peningkatan dan pengembangan skop cukai perkhidmatan dan e-invois dijangka memberi kesan kepada kebanyakan responden.
"Dengan hanya 4% dan 6% yang mengatakan pengembangan skop dan e-invois masing-masing tidak akan memberi apa-apa kesan ke atas mereka, ia seterusnya membuktikan kesan meluas yang akan ada pada kebanyakan responden.
"Kesan peningkatan cukai perkhidmatan dijangka sederhana bagi 41% responden dan signifikan bagi 14% responden manakala e-invois dijangka dijangka sederhana bagi 33% daripada responden dan signifikan bagi 28% lagi," jelasnya.
Ujar beliau, cukai lain seperti cukai keuntungan modal dan barangan mewah serta cukai minimum global, juga dijangka oleh kebanyakan responden memberi kesan kepada perniagaan mereka tetapi secara minimum.
Sementara itu, kata Thian Lai, cabaran terbesar kepada operasi dan pertumbuhan perniagaan pada 2024 seperti yang didedahkan oleh responden ialah peningkatan kos input yang disebut oleh 62% responden, diikuti oleh permintaan yang lemah (56% maklum balas) dan susut nilai ringgit (51%).

ARTIKEL BERKAITAN: Skop pengecualian cukai perkhidmatan sektor logistik diperluas untuk kurangkan kesan cukai berganda - MOF
Kerajaan hari ini bersetuju supaya skop pengecualian perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan logistik diperluas untuk meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran yang sama.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada maklum balas dan pandangan yang telah dikemukakan oleh pelbagai pihak termasuk Ahli Parlimen.
Katanya, ia adalah untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan logistik. - DagangNews.com








