Hala Tuju KPT 2024: Meningkatkan kualiti Pendidikan Tinggi dan pemerkasaan bakat negara | DagangNews Skip to main content

Hala Tuju KPT 2024: Meningkatkan kualiti Pendidikan Tinggi dan pemerkasaan bakat negara

Oleh AKMAL ADANAN

MEMASUKI tahun baru 2024, hala tuju Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia telah digariskan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir melalui ucapan beliau di Universiti Malaya baru-baru ini. 

 

Fokus utama KPT pada tahun ini melibatkan pembentukan institusi pendidikan tinggi sebagai wahana "human transformer" dan "culture builder" yang membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar.

 

Ini melibatkan pembentukan institusi pendidikan tinggi sebagai wahana "human transformer" dan "culture builder" yang membentuk kecemerlangan akademik dan sahsiah pelajar.

 

Selain itu, KPT menitikberatkan pada kebolehpasaran pelajar, Knowledge Sharing and Transfer Programme (KSTP), dan kesiagaan menghadapi Revolusi Industri 4.0. 

 

Pengantarabangsaan pendidikan tinggi juga diberi penekanan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan antarabangsa.

 

Dalam konteks Malaysia MADANI, Menteri Pendidikan Tinggi menekankan penciptaan ekosistem pendidikan tinggi kondusif. 

 

Ini termasuk pembinaan "human faculty" yang membangun kapasiti manusiawi secara menyeluruh.

 

Dalam ucapan tersebut, Zambry menghuraikan 5 fokus utama KPT dengan menggariskan 20 hala tuju khusus meliputi pembangunan bakat baharu, pengukuhan TVET dan Work-Based Learning.

 

Usaha-usaha disusun oleh KPT ini adalah kesinambungan perancangan strategik sebelum ini untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan antarabangsa, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, serta pemantapan ekosistem dalam pembangunan pendidikan tinggi.


 

parafrasa

 


5 fokus utama dalam pembangunan pendidikan tinggi negara

Fokus utama dalam pembangunan pendidikan tinggi negara mencerminkan komitmen yang mendalam terhadap kemajuan dan kecemerlangan sistem pendidikan tinggi Malaysia. 

 

1. Penyediaan Bakat Terbaik Negara

KPT akan memberi penekanan kepada pembangunan bakat baharu dalam menghasilkan individu yang berkualiti tinggi dan juga relevan dalam dunia sangat dinamik. Ia menunjukkan persiapan untuk menghadapi revolusi industri dan teknologi dengan menciptakan ekosistem pendidikan yang mendukung perkembangan kecerdasan buatan, teknologi disruptif, dan digital. 

 

2. Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi 

Fokus KPT kedua melibatkan peningkatan keupayaan penyelidikan melalui pemantapan infrastruktur, sumber daya, dan sokongan kewangan kepada penyelidik. Perluasan bidang inovasi untuk menangani cabaran global, dengan tumpuan kepada sektor-sektor kritikal seperti kesihatan, teknologi, dan alam sekitar. Usaha untuk memastikan kecekapan dalam pengkomersialan hasil penyelidikan juga diberi penekanan, dengan harapan mengubah penemuan saintifik menjadi produk atau perkhidmatan yang memberi nilai tambah kepada masyarakat dan ekonomi. 

 

3. Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu

Ketiga, program pemindahan teknologi dan pengetahuan adalah langkah proaktif untuk memastikan ilmu yang dihasilkan di institusi pendidikan tinggi dapat memberi impak langsung kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial. Perkongsian ilmu antara institusi pendidikan tinggi dan pihak luar perlu dipergiat melibatkan melalui kerjasama aktif, seminar, dan platform yang memudahkan pertukaran idea dan pengetahuan bagi meningkatkan daya saing dan inovasi dalam kalangan komuniti pendidikan dan industri.

 

4. Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi

Pengantarabangsaan pendidikan tinggi membawa manfaat ekonomi dan mencipta persekitaran pembelajaran antarabangsa. Bagi memastikan kecemerlangan sistem pendidikan tinggi Malaysia di arena global, elemen-elemen antarabangsa akan diperkenalkan dengan membuka pintu kepada kerjasama lintas sempadan, menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan antarabangsa. Komitmen KPT amat jelas untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pelajar dari seluruh dunia. 

 

5. Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya 

Akhir sekali, usaha khusus bagi memastikan infrastruktur, peraturan, dan sokongan yang diperlukan oleh institusi pendidikan tinggi akan diberi penekanan oleh KPT. Keutamaan dalam memastikan projek-projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap dan berkesan akan memberi peningkatan kualiti kepada pengalaman pembelajaran dalam jangka masa pendek dan panjang.


 

iktisad



Landasan Hala Tuju KPT 2024

Bagi memastikan kejayaan hala tuju ini, 20 landasan KPT yang digariskan Menteri Pendidikan Tinggi diharap membawa kesan positif untuk membentuk dasar yang kukuh dalam pembangunan pendidikan tinggi Malaysia. 

 

Nilai-nilai dan aspirasi dalam setiap landasan mencerminkan tekad untuk mencapai kecemerlangan dan memastikan kesejahteraan pelajar, kakitangan, dan masyarakat akademik secara menyeluruh.

 

Setiap landasan merangkumi nilai dan aspirasi yang penting untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan sistem pendidikan tinggi. 

 

Pemfokusan pada pembentukan "otak dan watak," pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, serta pembinaan "human faculty" menunjukkan kejelasan dalam visi KPT untuk membentuk individu yang holistik dan cemerlang dari segi akademik dan nilai kemanusiaan.

 

Selain itu, konsep "performance excellence" dan penekanan pada bakat terbaik negara menyuarakan komitmen untuk mencapai prestasi tertinggi dalam pendidikan tinggi. 

 

Aspek pemerkasaan TVET dan work-based learning menunjukkan kesedaran terhadap keperluan industri dan kebolehpasaran pelajar. 

 

Pemantapan ekosistem pemboleh daya pula bagi memastikan infrastruktur, sokongan emosi, dan budaya kerja yang positif tersedia untuk mencipta lingkungan pembelajaran yang kondusif.

 

Selain itu, aktiviti-aktiviti pengantarabangsaan diluncurkan sebagai langkah strategik dalam mencapai kecemerlangan global dan menjadi hab pendidikan serantau dan antarabangsa.

 

Ini sejajar dengan fokus global dan keperluan untuk menghasilkan graduan yang tidak hanya cemerlang secara teknikal tetapi juga dapat bersaing secara antarabangsa.


 

parafrasa

 


Peranan keluarga KPT

Menteri Pendidikan Tinggi menyeru kepada keluarga besar KPT untuk menerapkan nilai kesegeraan dan mempraktikkan prinsip "kaizen" atau penambahbaikan berterusan. 

 

20 landasan KPT, yang disebutkan perlu difahami merangkumi aspek-aspek seperti pembinaan "otak dan watak," pengantarabangsaan, keupayaan menimbang neraca keutamaan, dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.

 

Pendidik perlu memainkan peranan dalam pembinaan bakat baharu, pengukuhan TVET, dan pengantarabangsaan pendidikan. 

 

Di samping itu, pelajar juga perlu memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dengan melibatkan diri dalam Work-Based Learning, dan memainkan peranan dalam aktiviti pengantarabangsaan.

 

Namun, perancangan dan strategi kepada hala tuju ini akan hanya berjaya dilunaskan menerusi suatu ekosistem penyampaian perkhidmatan yang efisen melalui kebersamaan dan kesatuan pemikiran bersama. 

 

Diharap keluarga KPT dapat bersama mendukung tanggungjawab ini dengan prinsip kolaborasi, kerjasama dan koordinasi yang berkesan.


 

parafrasa

 


Penutup

Tahun 2024 pastinya membawa bersama pelbagai cabaran termasuk aspek sosial, budaya, dan ekonomi yang boleh memberikan kesan kepada ahli akademik, pelajar dan keseluruhan rakyat Malaysia.

 

Oleh itu, KPT amat komited untuk memastikan kecemerlangan akademik, pembangunan bakat baharu, pengukuhan TVET, pengantarabangsaan, dan pemantapan ekosistem pemboleh daya dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara. 

 

Dalam usaha mencapai hala tuju KPT 2024 ini, Menteri Pendidikan Tinggi akan turun padang untuk melihat situasi sebenar di institusi dan mendengar keluhan dari pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi. 

 

Antaranya, Jerayawara Kampus Madani akan diadakan ke seluruh negara untuk merancang pelbagai program dan menghargai sumbangan komuniti institusi.

 

Dengan kerjasama erat kementerian, ahli akademik dan pelajar, Zambry yakin hala tuju KPT 2024 dapat dijayakan walaupun mendepani cabaran semasa dan masa depan. - DagangNews.com

 

Akmal Adanan adalah Ketua Unit Komunikasi Korporat, UiTM Cawangan Melaka