Gamuda, MRCB dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada Belanjawan Selangor 2024, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Gamuda, MRCB dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada Belanjawan Selangor 2024, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - MIDF Research menjangkakan Gamuda Berhad dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dijangka menjadi penerima manfaat utama daripada peruntukan pembangunan berjumlah RM1.2 bilion menerusi Belanjawan Selangor 2024 .

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' kepada Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM5.38 terutama selepas kumpulan itu memenangi antara pakej utama skim bekalan air Sungai Rasau, dengan nilai kontrak RM1.97 bilion.

 

Bagi MRCB, ia akan melaksanakan pembangunan kompleks sukan Shah Alam bagi menjadikannya sebuah stadium yang dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi terkini. 

 

MIDF Research mempunyai panggilan "beli" dan harga sasaran 42 sen untuk MRCB.

 

Kerajaan negeri membentangkan belanjawan untuk 2024 pada 10 November lalu, dengan jumlah peruntukan RM2.53 bilion atau 3.3% melebihi 2023.

 

Sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia dan pembinaan di negeri ini akan menyumbang 34.1% pada 2022 berbanding 30.1% pada 2015.

 

Perbelanjaan mengurus negeri dijangka meningkat sebanyak 6.4% kepada RM1.33 bilion untuk 2024 manakala kutipan hasil bertambah baik sebanyak 7.6% pada 2023, lebih tinggi sebanyak 20% daripada anggaran awal.

 

Bagaimanapun, pendapatan negeri diramalkan lebih rendah sebanyak 8.5% kepada RM2.2 bilion pada 2024.

 

“Kami melihat bajet negeri bagi 2024 sebagai komprehensif dan holistik, terdiri daripada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan mampan dengan ia memberi fokus kepada infrastruktur asas termasuk jalan raya, jambatan dan projek berkaitan air.

 

“Selain itu, kerajaan menggalakkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus antara lain, menukar kereta rasmi negeri kepada kenderaan elektrik mulai tahun depan dan pemasangan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui melalui Air Selangor untuk mengurangkan jejak karbon," kata MIDF Research dalam satu nota kajian.

 

Dari segi pertumbuhan, MIDF Research berkata, belanjawan 2024 Selangor dan Rancangan Selangor 1 (RS-1) mungkin meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada melebihi 4.5% tahun depan.

 

Firma penyelidikan itu menyatakan bahawa kerajaan negeri menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan purata 6.5% hingga 7% setahun bagi tempoh 2021 hingga 2025 di bawah RS-1, lebih tinggi daripada unjuran yang dibuat di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada 4.7 % untuk 2023 hingga 2025 dan 6.2% untuk 2021 hingga 2025.

 

“Kami optimis dengan kemampuan Selangor berkembang melepasi 4.5% pada 2024.

 

“Selain itu, sasaran RS-1 adalah penting untuk negeri ini dan juga Malaysia kerana saiz ekonomi negeri ini.

 

“Tema, strategi dan sasaran akan membentuk landskap baharu bagi ekonomi negeri dan dijangka mempunyai potensi kesan kepada prestasi makroekonomi dan pasaran kewangan Malaysia,” katanya.

 

Selangor merekodkan keadaan fiskal yang sihat apabila nisbah imbangan fiskal berlegar antara 0.1% hingga turun 0.2% sejak 2010.

 

Sektor perkhidmatan menyokong lebih 60% ekonomi negeri sejak 2015, disebabkan pertumbuhan penduduk yang semakin meningkat dan pekerjaan berkemahiran tinggi yang menyumbang kepada sektor perkhidmatan.

 

Pembuatan merupakan sektor utama kedua di negeri ini, menaja lebih satu pertiga daripada ekonomi manakala bahagian sektor pembinaan berjumlah 4.7% dan sektor pertanian dan perlombongan masing-masing mencatat 1.3% dan 0.2%, pada 2022. - DagangNews.com