FM Global Logistics beli dua tanah bernilai RM37.7 juta di Klang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FM Global Logistics beli dua tanah bernilai RM37.7 juta di Klang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Mac -FM Global Logistics Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, FM Global Logistics (M) Sdn Bhd (FMGLM), akan membeli dua tanah bernilai RM37.7 juta yang terletak di Klang, Selangor.

 

Penyedia perkhidmatan logistik itu berkata, FMGLM telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Petaling Garden Sdn Bhd bagi cadangan pengambilalihan kedua-dua tanah itu.

 

Petaling Garden ialah anak syarikat milik penuh I&P Group Sdn Bhd, yang seterusnya dimiliki sepenuhnya oleh SP Setia Bhd.

 

Menurut kumpulan itu, SPA pertama yang dimeterai pada 20 Mac 2024 melibatkan tanah kosong pegangan bebas seluas 1.14 hektar, yang dikenali sebagai Plot Industri 10B, di Taman Perindustrian Setia Alaman, Kapar dengan jumlah keseluruhan balasan tunai sebanyak RM18,794,397.60.

 

SPA bagi tanah kedua pula dimeterai pada 6 Februari 2024 untuk tanah dikenali sebagai Plot Industri 10A di kawasan sama berkeluasan 1.14 hektar bernilai RM18,927,691.20.

 

FM Global Logistics berkata, pengambilalihan itu adalah untuk memudahkan pengembangan masa depan kumpulan bagi perkhidmatan pergudangan dan pengedaran logistik pihak ketiga (3PL).

 

"Pertimbangan pembelian adalah munasabah dan mencerminkan harga semasa bagi tanah serupa berhampiran hartanah itu," katanya.

 

FM Global Logistics berkata hartanah itu terletak secara strategik di kawasan perindustrian yang mantap dengan infrastruktur dan rangkaian jalan raya yang baik seperti Link NKVE-Setia Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), New North Klang Straits Bypass (NNKSB) dan Lebuhraya Persekutuan untuk kemudahan logistik.

 

Penambahan dua tanah ini dilakukan susulan pembelian tanah seluas 2.29 hektar di kawasan sama daripada Petaling Garden pada Januari 2024 yang bernilai RM37.86 juta.

 

Saham FM Global Logistics ditutup satu sen atau 1.7% lebih tinggi pada 60 sen semalam, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM335 juta. - DagangNews.com