Fitch Ratings unjur pertumbuhan perbankan Islam Malaysia atasi bank konvensional bagi jangka sederhana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fitch Ratings unjur pertumbuhan perbankan Islam Malaysia atasi bank konvensional bagi jangka sederhana

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Fitch Ratings mengunjurkan pertumbuhan perbankan Islam di Malaysia akan terus mengatasi bank konvensional bagi jangka sederhana selepas pembiayaannya mencecah AS$190 bilion (RM905.4 bilion) pada 2023.

 

Ia sekali gus mengukuhkan pasaran perbankan Islan negara sebagai yang ketiga terbesar di dunia.

 

Agensi penarafan itu dalam satu kenyataan berkata, bahagian pembiayaan syariah meningkat sehingga 42% daripada pinjaman sistem perbankan domestik berbanding 41% pada akhir 2022, apabila bank terus memperjuangkan strategi 'Islamic First'.

 

Fitch Ratings berkata, prestasi kewangan sektor itu secara relatifnya stabil pada 2023, walaupun dalam persekitaran kadar yang lebih tinggi dan menjangkakan trend itu akan kekal dalam jangka terdekat didorong kadar dasar tempatan yang stabil selain ekonomi yang diramalkan akan berkembang lebih daripada 3% pada tahun ini. 

 

“Malaysia akan melihat bank digital Islam pertamanya pada separuh pertama tahun ini yang akan menampung populasi perbankan negara yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

“Peserta baharu berkemungkinan perlu bersaing secara agresif bagi mendapatkan deposit bagi membina francaisnya tetapi ia dijangka tidak mengubah dinamik daya saing industri bagi jangka masa pendek dan sederhana," katanya. - DagangNews.com