KUALA LUMPUR 21 Mac - Buat julung kalinya, festival menghimpunkan 24 penulis berbahasa Perancis diadakan sempena penganjuran Festival of French-Speaking Authors in Malaysia pada 24 Mac ini di Alliance Francaise, di sini.
Penganjur memaklumkan, acara tersebut menghimpunkan penulis berbahasa Perancis yang akan membincangkan karya terbaharu mereka.
Katanya, selain sesi bertemu penulis, festival itu turut mengadakan sesi jualan buku, pameran foto, forum, wacana dan bengkel seni untuk kanak-kanak.
"Acara yang kaya dengan budaya ini bagi memberi penghormatan kepada karya sastera penutur bahasa Perancis (Francophone) di seluruh dunia, yang mana menyatukan 321 juta penutur bahasa Perancis dari lima benua.
"Penganjuran festival ini bertujuan untuk menyokong sastera dan budaya Perancis di Malaysia," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut kenyataan itu, pengunjung turut berpeluang untuk berinteraksi dengan penulis terkenal pada festival tersebut.

"Selain itu, turut diadakan sesi temubual dengan pemenang Hadiah Novel Asing Pertama 2018, Shih Li Kow," katanya.
Festival of French-speaking authors in Malaysia akan bermula pada pukul 9 pagi hingga 6 petang. - DagangNews.com








