Eksport minyak sawit Malaysia melonjak hampir 40% kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024 - MPOB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport minyak sawit Malaysia melonjak hampir 40% kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024 - MPOB

Eksport minyak sawit Malaysia melonjak kepada 1.69 juta tan pada Julai 2024. Gambar DagangNews

KUALA LUMPUR, 12 Ogos - Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 39.92% kepada 1.69 juta tan pada bulan Julai 2024 berbanding 1.21 juta tan pada bulan Jun 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

 

Eksport oleokimia juga meningkat sebanyak 24.91% bulan ke bulan (MoM) kepada 270,073 tan pada bulan Julai daripada 216,219 tan sebelum ini, menurut laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia MPOB untuk Julai 2024.

 

“Eksport minyak isirong sawit meningkat sebanyak 18.94% MoM kepada 109,908 tan daripada 92,403 tan pada bulan Jun, manakala eksport kek isirung sawit naik sebanyak 1.85% m-o-m kepada 217,365 tan pada bulan Julai daripada 213,418 tan bulan lalu.

 

“Namun, eksport biodiesel turun sebanyak 28.86% MoM kepada 10,345 tan pada bulan Julai berbanding 14,542 tan pada bulan Jun,” kata MPOB.

 

MPOB menyatakan stok minyak sawit menurun sebanyak 5.35% MoM kepada 1.73 juta tan pada bulan Julai 2024 berbanding 1.83 juta tan pada bulan Jun 2024.

 

“Stok minyak sawit mentah (CPO) negara menurun sebanyak 0.36% MoM kepada 921,859 tan pada bulan Julai berbanding 925,165 tan yang direkodkan pada bulan Jun dan stok minyak sawit yang diproses juga menurun sebanyak 10.45% MoM kepada 811,360 tan daripada 906,074 tan sebelum ini,” tambahnya.

 

Pada masa yang sama, pengeluaran CPO meningkat sebanyak 13.97% MoM kepada 1.84 juta tan daripada 1.62 juta tan pada bulan Jun, manakala pengeluaran isirung sawit meningkat sebanyak 16.17% MoM kepada 427,342 tan daripada 367,852 tan pada bulan Jun.


Import minyak isirong sawit melonjak  101.63% MoM kepada 22,611 tan daripada 11,214 tan pada bulan Jun, manakala import CPO berada pada 504 tan.

“Jumlah import minyak sawit yang diproses menurun sebanyak 14.98% m-o-m kepada 9,979 tan pada bulan Julai berbanding 11,738 tan pada bulan sebelumnya, manakala import minyak sawit menurun sebanyak 10.69% m-o-m kepada 10,483 tan pada bulan Julai daripada 11,738 tan sebelum ini,” tambah MPOB. - DagangNews.com