Eksport getah asli Malaysia merosot 5.4 peratus pada Jan 2024 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport getah asli Malaysia merosot 5.4 peratus pada Jan 2024 - DOSM

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Mac -  Eksport getah asli Malaysia turun 5.4 peratus pada Januari 2024 kepada 43,111 tan berbanding Disember 2023.

 

Pada bulan terakhir tahun lalu, Malaysia merekodkan eksport getah asli berjumlah 45,591 tan metrik.

 

Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Januari 2024 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli.

 

Eksport getah asli ke China berjumlah 32.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Januari 2024 diikuti Emiriah Arab Bersatu (13.5%), Jerman (13.0%), Amerika Syarikat (7.3%) dan India (6.3%). 

 

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom," kata kenyataan media DOSM hari ini. 

 

dos

 

Menurut jabatan itu, produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM1.02 billion pada Januari 2024, meningkat 7.3 peratus berbanding Disember 2023 (RM0.95 billion).

 

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli menurun 0.2 peratus pada bulan Januari 2024 (30,273 tan metrik) berbanding pada bulan Disember 2023 (30,342 tan metrik). 

 

"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 2.8 peratus (Januari 2023: 29,451 tan metrik).

 

"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Januari 2024 disumbangkan terutamanya oleh
sektor pekebun kecil (88.3%) berbanding sektor estet (11.7%)," jelasnya.

 

Kata beliau, jumlah stok getah asli pada Januari 2024 meningkat 6.5 peratus kepada 203,772 tan metrik berbanding 191,304 tan metrik pada Disember 2023. 

 

Ujar Dr Mohd Uzir, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.0 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.9%) dan estet getah (0.1%).

 

"Menurut Malaysia Rubber Board Digest pada Januari 2024, trend pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur sepanjang bulan dengan harga Getah Mutu Malaysia 20 dalam pergerakan turun naik.

 

"Secara amnya, sentimen pasaran disokong oleh pasaran yang menggalakkan terutama bekalan getah yang terhad daripada negara pengeluar getah akibat daripada cuaca lembab," katanya.- DagangNews.com