KUALA LUMPUR 14 Sept - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencapai pelaburan komited bernilai RM1.4 bilion dalam sektor pembuatan, perniagaan tani dan perkhidmatan di Kelantan setakat 31 Ogos 2023.
Sebanyak 50.1% daripada jumlah pelaburan tersebut merupakan pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, manakala baki 49.9% adalah pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor perniagaan tani dan perkhidmatan.
ECERDC dalam satu kenyataan media hari ini berkata ia telah merealisasikan RM270 juta pelaburan dalam sektor perkhidmatan setakat 31 Ogos 2023, yang akan menyediakan peluang pekerjaan dan keusahawanan kepada rakyat Kelantan.
“Saya percaya bahawa projek infrastruktur bagi mengukuhkan rangkaian pengangkutan akan meningkatkan potensi Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang ideal dan dapat mempercepatkan pembangunan sosio-ekonomi negeri,” kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Antara projek infrastruktur yang sedang dijalankan adalah Lingkaran Tengah Utama dan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai yang sedang dibina di bawah Kementerian Kerja Raya, serta kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra oleh Kementerian Pengangkutan.
Selain usaha meningkatkan daya tarikan negeri menerusi pelaksanaan projek infrastruktur yang strategik, Kerajaan Persekutuan telah mengambil inisiatif melalui ECERDC untuk turut melaksanakan projek berimpak tinggi agar dapat menaikkan skala perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menarik pelaburan baharu dan memperkukuh perdagangan merentas sempadan.
“Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) Fasa 1B (Pakej 3) yang baru disiapkan ini bakal menyediakan peluang kepada pelabur dan usahawan PKS untuk menyertai aktiviti perikanan hiliran.
“ECERDC akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Negeri Kelantan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mempromosikan pelaburan masuk ke TBIFP,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.
Menurut ECERDC, mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) kali ini turut memaklumkan ahlinya turut mengenai perancangan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3) serta inisiatif-inisiatif lain untuk memperkasakan tarikan pelancongan di Kelantan, termasuk pencalonan Masjid Kampung Laut sebagai Monumen Warisan Negara.
Selain perbincangan mengenai status pelaburan, mereka juga berbincang mengenai projek Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), yang pada masa ini telah dilaksanakan di lapan daerah di Kelantan dan ECERDC kini sedang mengenal pasti beberapa kawasan tanah sekitar Jeli, Kuala Krai, Gua Musang dan Machang yang sesuai untuk perancangan projek fertigasi cili berskala komersial.
Ahli-ahli ICC Kelantan juga diberi penerangan mengenai perkembangan Pelan Induk ECER 3.0 melibatkan cadangan projek lembah tenusu di Kelantan yang dijangka mampu meningkatkan pengeluaran susu segar negara, seterusnya meletakkan Lojing sebagai lokasi pertanian tanah tinggi yang terkemuka. - DagangNews.com








