Divfex raih kontrak RM3.84 juta daripada TM Technology bagi tempoh setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Divfex raih kontrak RM3.84 juta daripada TM Technology bagi tempoh setahun

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Divfex Berhad telah menerima kontrak bernilai RM3.84 juta daripada TM Technology Services Sdn Bhd bagi tempoh setahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Divfex berkata anak syarikatnya Finther Tecnologica Sendirian Berhad telah menerima surat pelantikan baharu tersebut yang bertarikh 7 Ogos 2023.

 

Kontrak tersebut melibatkan kerja menyampaikan pengoptimuman rangkaian dan perkhidmatan sokongan prestasi aplikasi berserta pemerhatian rangkaian dan analisis dipacu data sebagai perkhidmatan.

 

“Kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham yang besar dalam syarikat.

 

“Ia dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24),” katanya.

 

Ini merupakan kontrak ketiga yang diperoleh Divfex daripada TM Technology tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM24.8 juta.

 

Kontrak pertama yang diperoleh pada 15 Jun lalu diterima oleh anak syarikatnya, Diversified Gateway Bhd (DGB) bernilai RM9.43 juta dengan tempoh enam tahun yang dijangka siap pada 2 Jun 2029.

 

Kontrak kedua diraih oleh Finther Technologica Sdn Bhd yang bernilai RM11.56 juta bagi tempoh lima tahun.

 

Saham Divfex ditutup naik 0.5 sen atau 4% kepada 13 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM96.9 juta. - DagangNews.com