Dewan perniagaan rayu KKM hentikan serbuan, rampasan ke atas industri vape | DagangNews Skip to main content

Dewan perniagaan rayu KKM hentikan serbuan, rampasan ke atas industri vape

Pegawai KKM membuat operasi pemeriksaan di sebuah kedai vape.

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan serbuan dan rampasan ke atas industri vape beberapa hari lalu telah menjejaskan banyak operasi pengusaha vape di Lembah Kelang dan memberi kesan kepada usahawan kecil dan sederhana yang melibatkan kerugian jutaan ringgit.

 

Tindakan ini seumpama KKM mengambil tindakan ke atas industri vape kerana ramai dalam industri tidak bersetuju dengan Akta yang dibentangkan baru-baru ini yang menyamakan vape seperti rokok serta cadangan polisi GEG (generasi penamat) yang akan mengharamkan industri vape pada masa depan.

 

Akta tersebut kini sedang diperhalusi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen.

 

Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM), Ridhwan Rosli berkata, tindakan serbuan dan rampasan itu seolah-olah memberikan tekanan ke atas industri kerana industri tidak bersetuju dengan cadangan KKM untuk menyamakan vape dengan rokok serta cadangan polisi GEG.

 

“Industri menyokong Kerajaan untuk membuat undang-undang kawal selia industri vape dan kami menyambut baik Akta tersebut kini diperhalusi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

 

“Undang-undang ini adalah sesuatu yang industri telah nantikan selama bertahun-tahun dan hanya perlukan ia diperhalusi semula terutamanya berkaitan dengan beberapa isu yang penting untuk masa depan industri vape,” katanya.

 

“Tetapi serbuan dan rampasan yang dilakukan beberapa hari lalu secara serentak mengelirukan industri dan seolah-olah memberikan tekanan kepada industri kerana industri tidak bersetuju dengan cadangan KKM untuk menyamakan vape dengan rokok serta cadangan polisi GEG.

Ridhwan Rosli
                     Ridhwan Rosli

 


“Kami memohon agar KKM hentikan serbuan dan rampasan pada masa ini sambil menunggu Akta tersebut diperhalusi sebelum dibentangkan semula di Parlimen,” kata Ridhwan.

 

Dalam pada itu, Presiden Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA) Rizani Zakaria berkata, siri serbuan yang dijalankan pihak berkuasa ini mengelirukan industri kerana ia tidak selaras dengan apa yang diumumkan kerajaan sebelum ini dan tindakan ini mengakibatkan ramai yang mengalami kerugian.

 

Menurutnya, Menteri Kesihatan telah pun menyatakan hasrat KKM untuk menggubal undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan vape.

 

“Akta tersebut tertangguh pada masa ini kerana ia perlu diperhalusi dan dibincangkan lagi seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan. Jadi, janganlah lakukan serbuan dan rampasan ke atas industri vape sehingga pengusaha-pengusaha vape menjadi mangsa dan terpaksa menanggung kerugian,” kata Rizani.

 

Kata Rizani lagi, tindakan serbuan ke atas industri yang sanggup dikawal selia hanya menyusahkan industri.


 

Rizani Zakaria
                    Rizani Zakaria

 


“Sepatutnya, KKM mengeluarkan garis panduan kawal selia sambil menunggu Akta tersebut dibentang semula.

 

“Ini akan membolehkan industri mendapat hala tuju ke arah pengawalseliaan serta membolehkan industri bersiap-sedia apabila proses perundangan dilaksanakan,” kata beliau. – DagangNews.com