Cubaan ambil alih KNM cara lebih murah untuk peroleh Borsig? – Ketua Pegawai Eksekutif | DagangNews Skip to main content

Cubaan ambil alih KNM cara lebih murah untuk peroleh Borsig? – Ketua Pegawai Eksekutif

KUALA LUMPUR 8 Sept - Cubaan sekumpulan pemegang saham yang diketuai oleh Andreas Heeschen untuk mengambil alih KNM Group Bhd ‘tidak mengejutkan’ memandangkan syarikat itu bernilai rendah, kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Ravindrasingham Balasingham.

 

“Adakah percubaan pengambilalihan KNM oleh Heeschen ini cara yang lebih murah untuk memperoleh Borsig Group dan Kumpulan FBM? Sekiranya ini berlaku, pemegang saham dan pemiutang KNM akan kehilangan segalanya berbanding proses pengewangan kami yang kompetitif,” katanya.

 

Ravindrasingham mendedahkan bahawa Heeschen, yang muncul sebagai pemegang saham besar bulan ini, mempunyai minat mendalam terhadap Borsig Group dan FBM Group, dan sebelum ini pernah membuat percubaan pengambilalihan yang tidak berjaya, termasuk tahun lepas.

 

Pada 1 September, Heeschen telah memfailkan notis dengan sekumpulan pemegang saham untuk memecat semua pengarah KNM sedia ada, termasuk pengerusinya Tunku Datuk Yaacob Khyra, yang juga pemegang saham terbesar dengan 9.44% kepentingan.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia pada 5 September, antara cadangan pengganti lembaga pengaran syarikat berstatus Nota Amalan 17 (PN17) tersebut adalah puteri Johor, Tunku Kamariah Aminah Maimunah lskandariah Sultan Iskandar dan bekas Pengarah Eksekutif KNM, Flavio Porro.

 

Ravindrasingham berkata lembaga pengarah dan pengurusan semasa telah ditubuhkan pada 8 November 2022, berikutan kegagalan pengurusan terdahulu untuk melaksanakan pengewangan yang diperlukan bagi asetnya dengan berkesan.

 

Walaupun saham kumpulan itu sangat rendah nilainya, Borsig Group yang berpangkalan di Jerman merupakan aset paling bernilai, yang mana Ravindrasingham berkata memiliki nilai pasaran menarik melebihi €300 juta (RM1.5 bilion).

 

Menurut beliau, percubaan pengambilalihan secara tiba-tiba akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pemiutang, yang sangat menyokong syarikat setakat ini, di mana ia boleh mencetuskan tindakan serius daripada pemiutang luar, seperti Bank Pembangunan Asia dan TA/Danos.

 

Jelasnya, tindakan sedemikian boleh menjejaskan hubungan kerja positif yang kini dikekalkan oleh lembaga pengarah dan pengurusan dan berpotensi meruntuhkan kemajuan syarikat setakat ini.

 

"Kami telah memaklumkan kepada pemiutang dan telah memberi jaminan kepada mereka bahawa Pengerusi, Tunku Datuk Yaacob Khyra sangat serius mengenai pegangan kawalannya dalam KNM dan jika perlu, beliau tidak akan teragak-agak untuk menambah pegangannya," katanya.

 

Pergolakan lembaga pengarah tersebut berlaku sebelum perbicaraan mahkamah KNM yang berikutnya pada 20 Sept, di mana ia akan mendapatkan lanjutan perintah sekatan untuk memudahkan penstrukturan semulanya.

 

“Rancangan untuk memecat lembaga pengarah dan pengurusan KNM boleh memberi kesan kepada keputusan mahkamah kerana ia menimbulkan keraguan pada draf skema pengaturan semasa.

 

“Seperti yang berlaku sebelum ini, membawa kepada penangguhan keputusan mengenai perintah sekatan ini oleh mahkamah sekali lagi, sehingga selepas permohonan mengadakan mesyuarat agung luar biasa,” tambahnya.  - DagangNews.com