CIMB MicroBizReady diperakui berjaya bimbing usahawan mikro-PKS | DagangNews Skip to main content

CIMB MicroBizReady diperakui berjaya bimbing usahawan mikro-PKS

Program CIMB MicroBizReady telah memberi manfaat kepada seramai 316 peserta sepanjang lapan kumpulan kohort sejak penubuhannya pada tahun 2020
JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Jun- “Program CIMB MicroBizReady banyak membantu saya dalam meningkatkan keyakinan diri dan fokus dalam hala tuju perniagaan yang saya jalankan. 

“Banyak ilmu yang saya pelajari terutama dalam segmen ‘pitching’ di mana ia telah memberi saya keyakinan diri untuk bercakap depan orang ramai.”

Inilah kata-kata usahawan Sofiah Yahyah yang menyertai program CIMB MicroBizReady. Mengusahakan syarikat kecil Jinjang Excellent Enterprise, pembekal dan pengedar jenis makanan ketam di bawah jenama “Crabhaus”,  Sofiah tekun mengikut sepenuhnya setiap langkah yang diperturunkan di dalam program tersebut, sehingga melayakkannya dinobatkan sebagai Pemenang CIMB MicroBizReady Kohort Lembah Klang 2023. Beliau juga turut merupakan pemborong pakaian dan aksesori Muslimah di bawah jenama "Glamourose".

“Terima kasih CIMB MicroBizReady kerana telah memberi peluang kepada saya untuk menyertai program ini,” ujar beliau yang berazam untuk terus melaksanakan setiap ilmu yang diperoleh menerusi program tersebut.

Sofiah Yahya, Pengasas Jinjang Excellent Enterprise.
Sofiah Yahya, Pengasas Jinjang Excellent Enterprise.

Masidah Abu Bakar yang mengusahakan Inspirasi Intan Enterprise, pembekal dan pengedar Rempeyek Kacang Padu mengaku tidak yakin di dalam komunikasi awam.

“Melalui program ini, peserta dapat meluaskan lagi cara kita bertutur, memperkenalkan dan memasarkan produk. Sekarang saya lebih yakin, lebih bersedia terutama untuk bercakap di hadapan bakal pelanggan,” ujar beliau.

Program CIMB MicroBizReady ini cukup menarik kata Masidah kerana di akhir program, pemenang akan dipilih  dan berpeluang untuk menerima ganjaran tunai dan langganan penyelesaian digital percuma daripada  CIMB dan rakan kongsi Digitalnya untuk membantu pertumbuhan perniagaan. 

“Topik latihan seperti kesejahteraan mental & emosi juga akan membantu saya dalam menangani waktu-waktu sukar di masa akan datang,” ujar beliau.

Masidah Abu Bakar, Pengasas Inspirasi Intan
Masidah Abu Bakar, Pengasas Inspirasi Intan

Diperkenalkan pada 2020, program CIMB MicroBizReady merupakan inisiatif yang bertujuan menawarkan sokongan latihan dan bimbingan kepada mikro-PKS yang akan membantu mereka berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dan mencabar.

Dengan kerjasama Taylor’s Community, program ini disusun khusus untuk memperkasakan usahawan PKS, termasuk komuniti B40 dengan membantu mereka meningkatkan perniagaan mereka dengan latihan dalam pendigitalan, strategi perniagaan dan pembiayaan.

Selain daripada kemahiran teknikal, peserta diberi bimbingan dalam bidang pengurusan kesejahteraan emosi, perjalanan keusahawanan dan boleh mengambil bahagian dalam sesi perkongsian oleh peserta daripada kohort terdahulu program keusahawanan yang dilakukan oleh Taylor’s Community dan CIMB.

Program CIMB MicroBizReady disesuaikan untuk membantu perniagaan mikro untuk lebih relevan di masa hadapan dalam mencapai matlamat dan impian mereka, selaras dengan komitmen CIMB untuk meningkatkan mata pencarian komuniti yang beroperasi untuk mencapai kesan positif jangka panjang.

Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic berkata, “Selaras dengan konsep Pengantaraan berasaskan Nilai BNM (VBI), CIMB MicroBizReady dicipta khusus untuk membangunkan program keusahawanan yang mampan untuk komuniti kita. Ia disesuaikan untuk membantu perniagaan mikro membawa perniagaan mereka ke peringkat seterusnya, di samping mencapai matlamat dan impian mereka. CIMB kekal komited untuk memainkan peranan penting dan terus menyokong PKS tempatan dalam fasa pertumbuhan awal mereka terutamanya dalam persekitaran ekonomi semasa.”

 (Dari Kiri): May Wong, Ketua Komunikasi Kumpulan & Tanggungjawab Sosial Korporat, Taylor’s Education Group; Jaya Balan Kathiravalu, Ketua, Perbankan Komersial - Perbankan PKS, CIMB Bank Berhad; Ahmad Ihsan, Pengasas Ihsan Madu Empire; Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar, Ketua PegawaiEksekutif, ModulEight Technologies Sdn Bhd dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic semasa penyampaian anugerah di majlis penutup Program CIMB MicroBizReady.
(Dari Kiri): May Wong, Ketua Komunikasi Kumpulan & Tanggungjawab Sosial Korporat, Taylor’s Education Group; Jaya Balan Kathiravalu, Ketua, Perbankan Komersial - Perbankan PKS, CIMB Bank Berhad; Ahmad Ihsan, Pengasas Ihsan Madu Empire; Syed Omar Syed Abu Bakar Almohdzar, Ketua PegawaiEksekutif, ModulEight Technologies Sdn Bhd dan Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic semasa penyampaian anugerah di majlis penutup Program CIMB MicroBizReady.

Sambutan baik
Matlamat CIMB adalah untuk memperkenalkan dan memotivasikan usahawan kecil daripada komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan untuk mendigitalkan perniagaan mereka dan berkongsi kepada mereka peluang pembiayaan yang disediakan untuk menyokong mereka pada masa yang mencabar ini.

Memandangkan sambutan yang menggalakkan setakat ini, program CIMB MicroBizReady dirancang untuk meluaskan jangkauannya melangkaui Lembah Klang, yang akan dilancarkan di Wilayah Utara dan Selatan Malaysia menjelang separuh kedua 2023.

CIMB berhasrat untuk terus memperkasa dan meningkatkan kemahiran komuniti B40 terutamanya PKS Mikro. 

Sejak kejayaan program ini, ia kini telah meluas dan mula mendekati Usahawan B40 di luar Lembah Klang melalui kem latihan fizikal di Wilayah Utara dan Selatan Malaysia selama 5 hari berturut-turut yang dijadualkan seperti berikut: -

Kem Latihan Fizikal akan dijalankan @ 9.30 pagi – 12 tengahari (setiap hari) 
Wilayah Utara 18 Jun – 22 Jun 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UNISHAMS), Kulim
Wilayah Selatan 5hb Sep – 9hb Sep 2023 di Kolej Yayasan Melaka

Pencapaian
Dalam tempoh empat tahun sejak ia dilancarkan, kira-kira 316 peserta telah mendapat manfaat daripada program ini. Para peserta terdiri daripada pemilik perniagaan dalam kalangan usahawan wanita, Asnaf dan masyarakat kurang upaya di Lembah Klang.

Secara keseluruhan, terdapat lapan kohort setakat ini di bawah program ini.

Saringan peserta
Program ini bermula dengan proses saringan untuk memilih calon yang berkualiti dan layak untuk program tersebut. 

Proses temu duga dilakukan untuk memastikan maklumat yang betul diperolehi dan peserta yang dipilih dapat memberi komitmen kepada keseluruhan program. 

Kelas-kelas tersebut dilakukan setiap dua minggu sekali dengan lima modul utama, iaitu pendigitalan perniagaan, pembiayaan dan perbankan, strategi perniagaan dan kesejahteraan emosi untuk PKS.

Pentingnya menyokong PKS
PKS adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi kita. Mereka membentuk segmen perniagaan terbesar di Malaysia dan oleh itu, keperluan untuk memastikan mereka kekal mampan  dan relevan dalam pasaran Malaysia yang kompetitif.

Sebagai sebuah organisasi yang didorong oleh tujuan dan selaras dengan pelan strategik Forward23+ CIMB Group, CIMB komited untuk terus memperkasa dan meningkatkan kemahiran PKS mikro dengan memberi mereka peluang untuk meningkatkan perniagaan mereka untuk mencapai pertumbuhan mampan jangka panjang. – DagangNews.com