KUALA LUMPUR 8 Mac - Institut Piagam Pengangkutan dan Logistik Malaysia (CILTM) menerusi Women in Logistics and Transport (WiLAT) Malaysia menganjurkan 'Simposium Inspireher: Perpaduan Wanita dalam Pengangkutan dan Logistik' sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.
CILTM memaklumkan, simposium bertemakan Inspire Inclusion: ‘We Inspire, We Impact’ itu mendapat kerjasama Women in Corporate Aviation Asia (WCAA), Centre for Women Advancement and Leadership (CWAL) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) dan Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA), yang disokong oleh Kementerian Pengangkutan.
Pada majlis itu katanya, turut diadakan penyampaian Anugerah Icon Inspireher 2024 yang mengiktiraf beberapa individu wanita menerusi sektor masing-masing.
Katanya, anugerah tersebut disampaikan kepada Pengerusi Eksekutif Global Turbine Asia, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi menerusi kategori wanita dalam penerbangan, manakala kategori wanita di maritim, dimenangi oleh Pengurus Besar Johor Port, Datuk Monaliza Suhaimi dan Ketua Pegawai Eksekutif DB Schenker Malaysia dan Singapura, Catherine Soo merangkul anugerah bagi kategori wanita dalam pengangkutan darat.
Bagi kategori wanita dalam rel, dimenangi oleh Pengarah dan Pengasas Wanita Rail Malaysia, Natasha Mohd Zulkifli, manakala Profesor Pengurusan dan Keusahawanan Sekolah Perniagaan UniKL, Prof Datuk Dr Khairanum Subari meraih anugerah kategori wanita dalam logistik: keusahawanan dan pemerkasaan dan Timbalan Naib Canselor (Perkongsian Industri dan Masyarakat) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Norazah Nordin bagi kategori wanita dalam kepimpinan dan kemajuan.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi HAWA Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil. - DagangNews.com








