KUALA LUMPUR 5 Mei – Langkah mengejut BNM menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) adalah lebih awal daripada jangkaan CGS-CIMB Research, namun dijangka akan naik lagi sebanyak 25 mata asas kepada 3.25% pada separuh kedua 2023 (2H23).
Firma penyelidikan itu berpendapat bahawa kenyataan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terhadap pertumbuhan ekonomi domestik juga berubah ‘hawkish’ (percaya dasar monetari harus mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk membendung inflasi) menandakan potensi kejutan menaik dalam pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 minggu hadapan.
Mengulas lanjut berkenaan kenyatan MPC, firma itu berkata Bank Negara Malaysia (BNM) mengakui pemulihan berterusan berikutan ekonomi disokong oleh keadaan pasaran buruh yang kukuh dan pemulihan ekonomi China.
“Bagaimanapun, risiko penurunan akibat inflasi yang tinggi dan perang Rusia-Ukraine diburukkan lagi dengan keadaan pasaran kewangan yang semakin ketat.
“Dari segi domestik, BNM membayangkan bahawa pertumbuhan kukuh pada 1Q23, mungkin disebabkan oleh perbelanjaan isi rumah ‘berdaya tahan’ disokong oleh keadaan pasaran buruh lebih baik’ yang menunjukkan sokongan untuk permintaan domestik,” katanya dalam nota hari ini.
BNM menambah bahawa 'risiko kepada prospek pertumbuhan dalam negeri kekal secara relatif seimbang', yang firma itu percaya menunjukkan bahawa momentum pertumbuhan ekonomi bertambah baik.
Firma itu turut menjangkakan beberapa kejutan dalam harga akan berlaku dalam tempoh terdekat kerana kawalan harga kerajaan akan dihentikan ke atas beberapa barangan bermula pada bulan Jun, tanpa kawalan harga tambahan pada perayaan sehingga kemungkinan Julai untuk Aidiladha.
“Keputusan kenaikan kadar hari ini boleh membantu mengurangkan inflasi seterusnya, pada pandangan kami,” tambahnya.
Selain pertumbuhan KDNK, firma itu mengekalkan trajektori ramalannya terhadap OPR disebabkan tinjauan positif BNM terhadap ekonomi ditunjukkan dengan pengumuman rasmi penarikan rangsangan monetari COVID-19.
Di samping itu, BNM mewajarkan kenaikan kadar semasa berikutan "tiada tanda-tanda pengetatan berlebihan yang menjejas aktiviti penggunaan dan pelaburan" dan salah satu sebab utama BNM menghentikan sementara kenaikan kadar pada 23 Januari adalah untuk menilai pelarasan OPR terkumpul.
“Dalam pembentangan Laporan Tahunan BNM pada 29 Mac 2023, ia menekankan jangkaan untuk jurang output bertukar positif pada 2H23, menunjukkan penyingkiran sokongan monetari,” katanya dalam nota hari ini.
Dengan beberapa faktor tersebut, firma itu percaya OPR berkemungkinan meningkat lagi sekali menjelang akhir 2023 kepada 3.25% dan jika risiko utama iaitu kelembapan global melonjak daripada jangkaan, BNM mungkin boleh menghentikan kitaran kenaikan kadar walaupun ekonomi tempatan bertambah baik. -DagangNews.com








