CGS-CIMB jangka Affin Bank bayar dividen khas 22 sen daripada pelupusan pegangan dalam AHAM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB jangka Affin Bank bayar dividen khas 22 sen daripada pelupusan pegangan dalam AHAM

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Julai - Affin Bank Bhd. dijangka memberi dividen khas sebanyak 22 sen sesaham susulan penjualan 63% kepentingan Affin Bank Bhd. dalam unit pengurusan asetnya, Affin Hwang Asset Management (AHAM), demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Penganalisisnya, Winson Ng berkata, cadangan pelupusan itu yang akan selesai pada suku ketiga ini dijangka meningkatkan nisbah modal ekuiti biasa Tier-1 (CET-1) daripada 13.9% pada akhir Mac 2022 kepada sekitar 16%.

 

Bagaimanapun, katanya, sebarang pemberian dividen khas oleh bank adalah tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

"Memandangkan ini lebih tinggi daripada nisbah modal CET-1 sebanyak 15.1% untuk industri, kami melihat kemungkinan Affin Bank membayar sebahagian daripada hasil penjualan AHAM sebagai dividen khas.

 

"Dengan mengandaikan nisbah modal CET-1 selepas pelupusan adalah rendah daripada 16% kepada 15.1% industri, kami menganggarkan dividen khas sebanyak 22 sen sesaham (hasil dividen tambahan sebanyak 11.2%)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 25 Mei lalu, Affin Bank mendapat kelulusan daripada pemegang sahamnya bagi melupuskan 63% pegangan Affin Hwang Investment Bank Bhd dalam Affin Hwang Asset Management Bhd (AHAM) kepada Starlight Asset Sdn Bhd sebanyak RM1.417 bilion.

 

Kumpulan perbankan itu dijangka menjana hasil RM1.063 bilion daripada pelupusan itu, yang sebahagian besar akan digunakan untuk pelan pertumbuhan masa depan.

 

Ini mendorong CGS-CIMB menyemak naik penarafan Affin Bank kepada 'tambah' berbanding 'pegang' sebelum ini.

 

Semakan ini mengambil kira pertumbuhan pinjaman sektor terbaiknya pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan potensi pemberian dividen khas.

 

Namun, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 2 hingga 4% bagi FY22 hingga FY24 setelah meningkatkan andaian asas saham daripada 2.12 bilion kepada 2.21 bilion saham yang mengambil kira 88.3 juta saham baharu diterbitkan di bawah pelan pelaburan semula dividen.

 

"Oleh itu, ia menurunkan harga sasaran berasaskan DDM kami (kos ekuiti sebanyak 10.3% dan kadar pertumbuhan terminal sebanyak 3%) daripada RM2.19 kepada RM2.17 sesaham," katanya. 

 

Setakat 11.58 pagi ini, harga saham Affin Bank menokok 1 sen atau 0.52% kepada RM1.94 dengan 169,700 saham diniagakan. - DagangNews.com