Cabaran Sistem Kewangan Islam untuk diterima pakai di Barat | DagangNews Skip to main content

Cabaran Sistem Kewangan Islam untuk diterima pakai di Barat

Oleh ANNUR AZLAN

KEWANGAN Islam adalah suatu sistem yang unik, dimana ia adalah suatu sistem yang diwujudkan selari dengan prinsip Syariah Islam.

 

Dalam sistem kewangan Islam, riba adalah diharamkan sama sekali. Hal ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah, ayat 275: “Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba."

 

Selain itu, kewangan Islam juga turut diklasifikasikan sebagai sistem kewangan yang beretika. Hal ini kerana kewangan Islam melarang aktiviti-aktiviti industri yang tidak patuh syariah seperti industri perjudian, industri alkohol dan industri pemprosesan daging khinzir.

 

Pertambahan Kemasukan Institusi Kewangan Islam di Barat

Beberapa negara Barat telah membuka mata dengan potensi sistem kewangan  Islam. Misalnya, United Kingdom.

 

Menurut United Kingdom Trade & Investment (UKTI),  sejak tahun 2006 hingga tahun 2003, nilai aset di United Kingdom (UK) yang patuh syariah telah meningkat sebanyak 150%.  

 

Pada tahun 2014,  UK merupakan negara Eropah yang pertama  dalam menerbitkan Sukuk Berdaulat (Sovereign Sukuk) yang melaksanakan kontrak ijarah bernilai 200 juta pound sterling.

 

Dalam pelaksanaan sukuk ijarah ini, Perbendaharaan UK telah memberikan komitmen penuh untuk menepati piawaian syariah antarabangsa dengan mencegah jualan minuman keras dalam premis tersebut.


 

parafrasa

 


Selain itu, negara barat yang lain seperti Luxembourg juga turut mengiktiraf kewangan Islam sebagai suatu institusi kewangan yang diperlukan di negara Eropah.

 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Luc Frieden,Menteri Kewangan Luxembourgh di Forum Penerbit dan Pelabur Asia IFN 2O11, elemen-elemen dalam kewangan Islam yang stabil sangat diperlukan untuk menghadapi krisis ekonomi yang berlaku di Eropah pada waktu itu.

 

Hal ini rentetan daripada krisis ekonomi di Eropah yang berlaku pada waktu itu, dimana masyarakat Eropah mendapati sistem kewangan konvensional yang mempunyai unsur riba dan kapitalism, telah menindas mereka.

 

Oleh itu, hal ini telah menaikkan imej dan prestasi kewangan Islam sebagai suatu sistem yang menolak pelaksanaan riba yang menjadi beban kepada masyarakat, sekali gus diiktiraf sebagai sistem kewangan yang tidak menzalimi masyarakat.

 

Bahkan, Luxembourg telah menjadi negara Eropah yang pertama dalam perbankan Islam yang dikenali sebagai Islamic Finance House Universal Holding S.A yang mana perbankan Islam ini telah bermula sejak tahun 1978 lagi.

 

Penerimaan Masyarakat Barat terhadap Institusi Kewangan Islam

Terdapat perkembangan yang positif terhadap institusi kewangan Islam di negara- negara Barat.

 

Hal ini terbukti dengan peningkatan cawangan-cawangan bank yang menawarkan sistem kewangan Islam secara penuh dan patuh syariah di negara-negara Barat.

 

Misalnya, Bank of London and Middle East (BLME), Gatehouse Bank, European Islamic Investment Bank (EIIB), Qatar Islamic Bank-UK (QIB-UK), Islamic Bank of Britain (IBB), Abu Dhabi Islamic Bank-UK (ADIB-UK) dan selainnya.


 

parafrasa

 


Selain itu, populasi Masyarakat Muslim yang meningkat di negara-negara Eropah turut menyumbang kepada pertambahan jumlah ini.

 

Selain itu, perhatian negara Barat terhadap potensi kewangan Islam di Eropah juga telah mula berkembang, dan ini telah menarik perhatian para pelabur yang ingin melabur dalam sistem kewangan yang beretika.

 

Justeru, hal ini membawa kepada peningkatan produk kewangan Islam seperti sukuk di peringkat antarabangsa. Negara Barat yang lain seperti Switzerland dan Jerman juga sedang bergiat aktif dalam meningkatkan landskap kewangan Islam di negara mereka.

 

Di samping itu, menyedari potensi pasaran kewangan Islam di peringkat antarabangsa, institusi kewangan barat yang utama seperti Citibank, HSBC, Barclays, dan Standered Chartered juga turut bergiat aktif dalam menawarkan produk dan servis kewangan Islam, dengan menyasarkan pelanggan yang beragama Islam dan bukan Islam yang mencari sistem pelaburan yang patuh syariah dan beretika.

 

Misalnya, Allianz Syarikat insurans terbesar di German yang bekerjasama dengan Dubai Islamic Bank untuk menawarkan produk insurans yang patuh syariah di UAE.

 

Cabaran-cabaran

Namun begitu, antara cabaran yang perlu dihadapi oleh institusi kewangan Islam di negara Barat ialah kurangnya pendedahan tentang konsep kewangan Islam yang sebenar dalam kalangan masyarakat Barat.

 

Hal ini kerana, konsep kewangan Islam adalah berteraskan prinsip syariah, yang mana ia bertentangan dengan etika dan kebiasaan masyarakat Barat.

 

Misalnya, Islam mengharamkan riba, arak, judi, dan memakan makanan yang tidak halal seperti khinzir yang merupakan kebiasaan yang telah mendarah daging dalam kalangan masyarakat Barat.


 

parafrasa

 


Oleh itu, perbezaan daripada aspek etika juga dapat membawa kepada salah faham masyarakat Barat terhadap instutusi kewangan Islam, bahkan kepada agama Islam sendiri dengan menganggap Islam adalah agama yang sangat rigid.

 

Selain itu, faktor Islamophobia juga memberi kesan kepada penerimaan masyarakat Barat terhadap kewangan Islam.

 

Tambahan pula dengan konflik atau krisis di negara-negara Islam, dan propaganda negatif yang dihidangkan media kepada masyarakat antarabangsa, membuatkan masyarakat Barat berasa takut untuk menerima apa-apa sistem yang berkaitan dengan Islam.  

 

Masa depan cerah

Walaubagaimanapun, di sebalik cabaran ini, masa depan kewangan Islam di Barat kelihatan menjanjikan.

 

Dengan meningkatnya kerjasama, inovasi dan tumpuan untuk menangani cabaran-cabaran ini, potensi kewangan Islam yang sebenar dapat dilaksanakan dan digarap sepenuhnya di persada antarabangsa.

 

Oleh itu, institusi kewangan Islam yang stabil perlulah jelas dari sudut misi dan visinya, serta jelas dengan prinsip syariah yang dibawa dalam sistem tersebut.

 

Semoga dengan pertambahan institusi kewangan Islam di negara-negara Barat, dapat membuka mata masyarakat Barat tentang keindahan yang dibawa Islam khususnya dalam sistem kewangan Islam. - DagangNews.com

 

ANNUR AZLAN merupakan pelajar Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah di Universiti Sains Islam Malaysia.