BNM unjur ekonomi berkembang 4% hingga 5% pada 2024 disokong daya tahan perbelanjaan domestik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM unjur ekonomi berkembang 4% hingga 5% pada 2024 disokong daya tahan perbelanjaan domestik

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4% hingga 5% pada 2024 disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Unjuran tersebut adalah lebih tinggi daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 3.7% yang dicapai pada 2023. Anggaran bank pusat itu adalah sejajar dengan unjuran Putrajaya sebanyak 4% hingga 5% bagi 2024.

 

Menurut BNM, pertumbuhan ekonomi negara tahun ini akan disokong oleh permintaan luaran yang didorong pemulihan perdagangan global dan peningkatan kitaran teknologi yang memberikan sinar harapan kepada Malaysia berikutan peranan pentingnya dalam rantaian bekalan semikonduktor. 

 

Hal ini akan memberikan kesan limpahan positif terhadap eksport dan pengeluaran negara, katanya dalam Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 yang diterbitkan hari ini.

 

Sementara itu, ia menjangkakan sektor pelancongan di Malaysia akan memperoleh manfaat daripada pemulihan sektor pelancongan global ke tahap sebelum pandemik.

 

BNM berkata permintaan domestik yang berdaya tahan kekal sebagai pendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia, dengan pekerjaan dan pertumbuhan gaji yang berterusan menyokong perbelanjaan isi rumah yang diunjur berkembang pada kadar lebih pantas kepada 5.7% tahun ini daripada 4.7% pada 2023.

 

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang bertambah baik berikutan pemulihan berterusan dalam sektor berkaitan pelancongan, serta aktiviti pengeluaran dan perdagangan yang lebih tinggi,” katanya.

 

Menurut BNM, langkah-langkah kerajaan, termasuk peluasan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan pembayaran insentif awal untuk penjawat awam, juga dijangka dapat menyokong perbelanjaan isi rumah.

 

Namun begitu, BNM menyatakan bahawa pertumbuhan dalam negara masih tertakluk kepada risiko pertumbuhan menjadi perlahan disebabkan oleh faktor luaran dan domestik. Faktor luaran termasuk pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan peningkatan konflik geopolitik.

 

Sementara itu, di dalam negara, kejutan yang lebih teruk terhadap pengeluaran komoditi dan pelaksanaan rasionalisasi subsidi juga boleh menjejaskan prospek pertumbuhan.

 

“Pertumbuhan pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan merentas sektor awam dan swasta, di samping inisiatif pemangkin di bawah pelan induk strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

“Pelaksanaan pelaburan yang diketengahkan di bawah pelan-pelan induk ini akan mengambil masa selama beberapa tahun, sekali gus memberikan kesan limpahan positif yang berterusan kepada ekonomi pada masa hadapan,” tambahnya. - DagangNews.com