Bitcoin hampiri paras tertinggi sepanjang masa pada RM270,000 di Luno | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bitcoin hampiri paras tertinggi sepanjang masa pada RM270,000 di Luno

Gambar hiasan Freepik/frimufilms
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb - Bitcoin menghampiri paras tertinggi sepanjang masa RM270,000 yang dicatatkan ketika kenaikan harga pada 2021, dan kini didagangkan di Luno pada RM247,950 berikutan peningkatan mendadak sekitar 20% sepanjang minggu.

 

Bagaimanapun, dari segi dolar Amerika Syarikat (AS), Bitcoin kini didagangkan sekitar AS$51,910 yang dilihat masih jauh daripada paras tertinggi dolar sepanjang masa sebanyak AS$65,000 pada 2021.

 

Pengurus Negara Luno Malaysia, Scarlett Chai berkata, 2024 akan menjadi tahun yang baik untuk industri kripto seperti yang dijangkakan secara meluas, dengan pengurangan separuh Bitcoin (Bitcoin halving) berlaku pada pertengahan April 2024.

 

“Keterujaan dan jangkaan pengurangan separuh Bitcoin dipercayai akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pasaran,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Pengurangan separuh Bitcoin merupakan kitaran empat tahun yang mengurangkan ganjaran pelombong Bitcoin sebanyak separuh untuk memastikan bekalan mata wang kripto yang tidak terhingga itu tidak menghakis nilainya lebih jauh.

 

Menurut kenyataan tersebut, keyakinan baharu pelabur disokong oleh prestasi dana dagangan bursa (ETF) Bitcoin yang telah menarik lebih AS$34 bilion daripada pelabur sejak diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS pada 10 Januari.

 

Minggu lalu, permodalan pasaran Bitcoin melepasi AS$1 trilion berikutan pergolakan pasaran tradisional baru-baru ini yang didorong oleh data inflasi indeks harga pengguna (CPI) yang lebih tinggi daripada jangkaan di AS.

 

Luno mendedahkan bahawa beberapa penganalisis menjangkakan pertumbuhan berterusan disokong sentimen positif.

 

“Walaupun potensi kenaikan harga akan memberi peluang kepada orang ramai untuk meningkatkan keuntungan, mereka masih perlu berwaspada dan arif dengan skim yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh yang singkat,” kata Chai.

 

Memandangkan pengurangan separuh Bitcoin mempunyai kesan besar terhadap harga, Chai berkata terdapat perubahan dinamik pada Luno, dengan altcoin Solana menggantikan XRP di kedudukan ketiga selepas Bitcoin dan Ether sejak dua bulan lalu. 

 

“Walaupun XRP terus menjadi salah satu syiling teratas yang didagangkan di Luno, ini boleh menandakan kitaran dan corak baharu dalam pasaran kripto,” tambahnya. - DagangNews.com