Binastra terima kontrak RM370 juta bina apartmen di Bukit Jalil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Binastra terima kontrak RM370 juta bina apartmen di Bukit Jalil

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Mac - Binastra Corporation Berhad melalui anak syarikatnya, Binastra Builders Sdn Bhd telah menerima kontrak pembinaan apartmen bernilai RM369.95 juta di Bukit Jalil.

 

Surat anugerah yang diperoleh daripada Exsim Jalil Link Sdn Bhd itu melibatkan pembinaan dan penyiapan kerja bangunan utama dan kerja infrastruktur bagi cadangan pembangunan tiga blok apartmen yang terdiri daripada 1558 unit kediaman dan beberapa kemudahan lain.

 

Kontrak tersebut disasarkan siap dalam tempoh 41 bulan dari tarikh permulaan yang akan dimaklumkan dalam masa terdekat, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

“Kontrak tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025 hingga 2028,” tambahnya.

 

Binasta mendedahkah bahawa Pengarah Eksekutif dan pemegang saham utama kumpulan, Lee Seng Yong, yang memegang 8.13% saham biasa syarikat, juga memegang 5% saham biasa dalam Exsim Jalil Link melalui kepentingannya dalam TRE Towers Holding Sdn Bhd. 

 

“Lee Seng Yong bukan Pengarah Exsim Jalil Link dan oleh itu, kontrak tidak dianggap sebagai urus niaga pihak berkaitan menurut Perenggan 10.08 (11) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad,” jelasnya.

 

Saham Binastra ditutup rendah 5 sen atau 2.9% pada RM1.65 hari ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM746.6 juta. - DagangNews.com