KUALA LUMPUR 20 Julai - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bon-bon Malaysia untuk bulan keenam berturut-turut pada Jun 2023, menurut RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).
Agensi penarafan itu berkata, ia menunjukkan daya tahan yang mengejutkan selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedahnya sambil membayangkan akan terdapatnya semakan kadar secara menaik.
Katanya, aliran masuk dana asing keseluruhan terus meningkat kepada RM5.2 bilion (Mei RM3 bilion), diterajui Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Kerajaan Malaysia Islam (GII).
"Hasil MGS sebahagian besarnya meningkat bulan lepas, menjejaki hasil Perbendaharaan AS di tengah-tengah jangkaan lebih banyak kenaikan kadar AS," katanya dalam media di sini.
Ia berkata, hasil MGS 10 tahun dan Perbendaharaan AS masing-masing meningkat 13.8 mata asas (bps) dan 17 mata asas bulan ke bulan kepada 3.88 % dan 3.81% pada akhir Jun.
"Sentimen itu, bagaimanapun berubah pada separuh pertama Julai di tengah-tengah harapan baharu bahawa Rizab Persekutuan mungkin menamatkan kenaikan kadar lebih awal daripada jangkaan.
"Ini berlaku selepas kadar inflasi AS bulan Jun menyederhana kepada 3% minggu lepas, paras terendah sejak Mac 2021," katanya.
Katanya, hasil MGS 10 tahun merosot kepada 3.81% pada 17 Julai, manakala ringgit menambah nilai kepada 4.56 berbanding dolar AS pada 4.68 pada akhir Jun.
"Dengan Rizab Persekutuan menghampiri penghujung kitaran kenaikan kadarnya, kami menjangkakan sentimen pasaran akan bertambah baik sepanjang baki tahun ini," katanya. - DagangNews.com








