Bekas CEO TNB, Baharin Din dilantik Pengerusi MN Holdings | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bekas CEO TNB, Baharin Din dilantik Pengerusi MN Holdings

Baharin Din dilantik sebagai Pengerusi bebas bukan eksekutif MN Holdings.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 Mac - MN Holdings Bhd melantik bekas ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Bhd, Datuk Seri Baharin Din sebagai Pengerusi bebas bukan eksekutif.

 

Pelantikan Baharin, 61, sebagai Pengerusi MN Holdings berkuat kuasa serta-merta, kata pakar utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang itu dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Baharin berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif TNB selama tiga tahun dari 1 Mac 2021 hingga 29 Februari 2024. 

 

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah urusan Sabah Electricity Sdn Bhd dari Mac 2007 hingga November 2011.

 

"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan Datuk Seri Baharin ke dalam Kumpulan MN," kata Pengarah Urusan MN Holdings Datuk Clement Toh dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut beliau, rekod prestasi Baharin yang terbukti, kepimpinan strategik dan pengalaman luas dalam sektor tenaga pasti membantu membimbing MN Group dalam fasa pertumbuhan seterusnya ke arah peralihan tenaga.

 

Dengan pengalaman menjangkau lebih 35 tahun dalam sektor tenaga, Baharin telah menerajui perniagaan Tenaga merentasi rantaian nilai — penjanaan, penghantaran, pengedaran dan peruncitan — dengan kehadiran di UK, Kuwait, Turkiye, Arab Saudi dan India.

 

Baharin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Elektrik dari Universiti Syracuse, New York dan Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Bond, Sydney/UNITEN, Malaysia. - DagangNews.com