Batik Air tawarkan baucar perjalanan domestik RM200,000 untuk sokong kempen “Cuti-Cuti Malaysia” | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Batik Air tawarkan baucar perjalanan domestik RM200,000 untuk sokong kempen “Cuti-Cuti Malaysia”

E-baucar ini akan memberi tetamu kelayakan untuk menuntut diskaun sebanyak RM50 bagi mana-mana penerbangan domestik Batik Air di Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Julai – Batik Air (dahulunya dikenali sebagai Malindo Air) menawarkan e-baucar bernilai RM200,000 untuk penebusan sebagai sebahagian daripada Pelan Rangsangan Ekonomi (PRE 2.0) untuk mengekalkan momentum pelancongan domestik.

 

Dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesenian, Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC), sebanyak 4,000 e-baucar tersedia berdasarkan `siapa cepat dia dapat', dan rakyat Malaysia yang layak akan dapat menebus satu e-baucar RM50 setiap satu di malindoair.com bermula dari Jumaat, 1 Julai 2022.

 

E-baucar ini akan memberi tetamu kelayakan untuk menuntut diskaun sebanyak RM50 bagi mana-mana penerbangan domestik Batik Air di Malaysia yang ditempah antara 1 Julai hingga 31 Julai, untuk tempoh perjalanan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2022.

 

Butiran penebusan penuh adalah tersedia di malindoair.com terma dan syarat dikenakan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, selepas berehat seketika selama dua tahun, rakyat Malaysia tidak sabar-sabar untuk melancong lagi, terutamanya semasa musim perayaan tradisional dan cuti sekolah.

 

Katanya, terdapat keyakinan yang semakin meningkat untuk pemulihan pelancongan Malaysia memandangkan pembukaan semula sempadan negara sepenuhnya.

 

"Kami berterima kasih kepada MOTAC atas inisiatif mereka melancarkan pusingan kedua pakej rangsangan PRE 2.0 ini, yang sepatutnya menggiatkan semula ekonomi negara melalui pelancongan domestik.

 

“Di dalam negara, kami menjangkakan segmen tertentu pulih lebih cepat daripada yang lain, diterajui oleh segmen percutian dan mereka yang ingin berhubung semula dengan keluarga dan rakan, manakala pemulihan pelancongan antarabangsa, seperti yang dijangka, akan menjadi lebih perlahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Walau bagaimanapun kata Kapten Mushafiz, apabila sekatan ditarik balik, negara dapat melihat bahawa momentum perjalanan semakin meningkat dan pihaknya yakin pemulihan sedang berjalan dengan baik.

 

Oleh itu tambah beliau, untuk mengimbangi kekurangan dalam perbelanjaan pelawat antarabangsa, PRE 2.0 ini pastinya merupakan rahmat kepada pelancongan domestik.


"Dengan jangkaan ketibaan lebih banyak pesawat tidak lama lagi, Batik Air berharap dapat menyediakan kapasiti yang lebih besar serta kemudahan logistik dan kargo yang lebih baik," ujar beliau. - DagangNews.com