Banyak lot kediaman dikhaskan untuk Bumiputera tidak terjual, kata Rehda | DagangNews Skip to main content

Banyak lot kediaman dikhaskan untuk Bumiputera tidak terjual, kata Rehda

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 12 Sept - Hampir separuh ahli Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan mempunyai unit kediaman yang belum terjual setakat Jun 2024.

 

Menurut tinjauan industri yang dijalankan oleh persatuan itu, sebahagian besar rumah yang tidak terjual ini adalah lot yang dikhaskan untuk pembeli Bumiputera.

 

Tinjauan menunjukkan pada separuh pertama 2024, sebanyak 47% lot Bumiputera tidak terjual berada di bawah julat harga RM500,000 hingga RM700,000 sebuah, manakala yang berharga antara RM300,000 dan RM500,000 adalah yang kedua tertinggi iaitu 29%.

 

 

Presiden Rehda Ho Hon Sang berkata 33% daripada lot Bumiputera ini masih tidak terjual walaupun selepas tiga tahun sejak ia siap.

 

Saya percaya ini adalah isu yang perlu ditangani oleh industri, katanya di Wisma Rehda di sini.

 

 

Rehda Ho Hon Sang
                                        Datuk Ho Hon Sang

 

 

Selain lot yang dikhaskan untuk pembeli Bumiputera, Ho berkata ahli Rehda juga menyebut permintaan rendah dan pinjaman pembiayaan akhir ditolak oleh bank sebagai punca utama lebihan rumah tidak terjual.

 

Tambahnya, kadar purata permohonan pinjaman hartanah yang ditolak ialah 31%.

 

“Maknanya jika anda mempunyai 100 permohonan pinjaman, berkemungkinan terdapat 31 kes pinjaman akan ditolak.

 

Mungkin 31 unit ini perlu dijual semula kepada pihak lain, atau pembeli yang berminat perlu mencari lebih banyak dokumen sokongan atau bukti untuk menyokong pinjaman mereka, katanya.

 

Sementara itu, tinjauan itu juga menyatakan 69% responden menghadapi cabaran pembinaan pada separuh pertama 2024, dengan menyebut harga bahan binaan yang tinggi telah memberi kesan kritikal terhadap operasi perniagaan.

 

“(Harga) pasir meningkat kira-kira 15%, manakala kaca naik 15% dan konkrit 13%. (Kenaikan ini) merangkumi lebih daripada 10% daripada kenaikan (jumlah harga) berbanding setahun yang lalu.

 

Lebih 90% daripada responden juga memerhatikan kenaikan (harga) bahan binaan yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, kata Ho. - DagangNews.com