FELDA bekerjasama dengan Encorp bangunkan projek perumahan khas kakitangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FELDA bekerjasama dengan Encorp bangunkan projek perumahan khas kakitangan

Menerusi kerjasama itu, Encorp akan dilantik sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab bagi reka bentuk dan pembinaan projek perumahan berkenaan, tertakluk kepada kelulusan akhir kedua-dua pihak
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – FELDA memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Encorp Berhad bagi melaksanakan pembangunan perumahan khas untuk kakitangan FELDA.

 

Kerjasama strategik ini dimeterai sebagai langkah awal sebelum kedua-dua pihak memasuki fasa perjanjian muktamad dan pelaksanaan projek sebenar selepas memperoleh kelulusan berkaitan.

 

Menerusi kerjasama itu, Encorp akan dilantik sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab bagi reka bentuk dan pembinaan projek perumahan berkenaan, tertakluk kepada kelulusan akhir kedua-dua pihak.

 

Projek tersebut bertujuan menyediakan kediaman yang lebih selesa, praktikal dan kondusif untuk kakitangan FELDA sebagai sebahagian usaha memperkukuh kebajikan warga kerja organisasi itu.

 

Selain itu, inisiatif ini juga dijangka menyokong kesejahteraan hidup kakitangan serta meningkatkan produktiviti kerja melalui persekitaran kediaman yang lebih baik.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp, Ahmad Harzimi  Mohd Taib, pihaknya berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan oleh FELDA untuk menyumbang kepakaran dalam sektor pembinaan.

 

“Encorp komited untuk memastikan setiap pembangunan dilaksanakan dengan standard tinggi melibatkan reka bentuk moden, kualiti pembinaan serta perancangan yang teratur,” katanya dalam satu kenyataan.

 

MoU itu dimeterai di Menara FELDA melibatkan Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr. Suzana Idayu Wati Osman, dan Ahmad Harzimi dengan disaksikan oleh Pengerusi FELDA, Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek serta Pengerusi Encorp, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

 

Kerjasama ini juga dilihat sebagai kesinambungan rekod prestasi Encorp dalam pembangunan hartanah termasuk projek-projek kediaman sebelum ini di seluruh negara.

 

Antara projek terdahulu syarikat itu termasuk pembangunan The Strand di Kota Damansara, Encorp Cahaya Alam di Shah Alam, Encorp Marina Puteri Harbour di Iskandar Puteri, serta projek antarabangsa di Perth, Australia.

 

Selain itu, Encorp turut mempunyai pengalaman dalam pembangunan komuniti kediaman seperti Lamanda Chuping yang menempatkan perumahan untuk warga FELDA dan generasi peneroka.

 

FELDA pula menyifatkan kerjasama ini sebagai sebahagian usaha berterusan dalam memperkukuh kebajikan kakitangan melalui penyediaan kediaman yang lebih berkualiti dan mampan. - DagangNews.com