19 aspek kesiapsiagaan jadi penentu penggunaan nuklear – Suruhanjaya Tenaga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

19 aspek kesiapsiagaan jadi penentu penggunaan nuklear – Suruhanjaya Tenaga

Gambar hiasan - Unsplash.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – Malaysia masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanakan program tenaga nuklear, sebaliknya kini berada pada fasa menilai tahap kesiapsiagaan negara berdasarkan 19 aspek utama keselamatan dan infrastruktur sebelum sebarang keputusan dibuat.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (EC), Siti Safinah Salleh berkata keputusan tersebut hanya akan dipertimbangkan selepas negara benar-benar bersedia dari semua sudut, khususnya aspek keselamatan, perundangan dan teknikal.

 

Beliau berkata antara fokus utama penilaian termasuk keselamatan nuklear, perlindungan radiasi, pengurusan sisa radioaktif, sistem grid elektrik serta kemudahan sokongan yang berkaitan.

 

Penilaian itu dibuat berdasarkan pendekatan Milestones yang dibangunkan oleh International Atomic Energy Agency, iaitu garis panduan antarabangsa yang menetapkan keperluan asas sebelum sesebuah negara boleh membangunkan program tenaga nuklear.

 

Menurut beliau, terdapat 19 “building blocks” atau blok asas yang perlu dipenuhi, termasuk dasar negara terhadap nuklear, rangka kerja perundangan, sistem kawal selia, perlindungan keselamatan, perlindungan alam sekitar, perancangan kecemasan, keselamatan fizikal serta pembangunan sumber manusia.

 

“Turut termasuk dalam senarai tersebut ialah aspek penglibatan industri, struktur pembiayaan dan kewangan, sistem perolehan, pengurusan sisa radioaktif, kitaran bahan api nuklear serta pembangunan tapak dan fasiliti sokongan yang sesuai.

 

“Semua elemen ini amat kritikal kerana tenaga nuklear merupakan teknologi berisiko tinggi yang memerlukan tahap keselamatan sangat ketat serta pengurusan jangka panjang yang komprehensif,” katanya ketika mengulas mengenai status perancangan tenaga nuklear negara pada sesi panel Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26).

 

Tambahnya, tenaga nuklear kini dilihat sebagai salah satu komponen penting dalam peralihan tenaga global, khususnya bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor penjanaan elektrik.

 

“Jika kita mahu mencapai peralihan tenaga bersih dan mengurangkan pelepasan karbon dalam sistem tenaga, kita memang memerlukan nuklear. Negara yang bersedia dan mampu sudah pun mempercepatkan pembangunan nuklear masing-masing,” katanya.

 

Tambah beliau, beberapa negara utama seperti China sedang memperluaskan kapasiti nuklear secara besar-besaran, manakala negara di Eropah pula mula menilai semula penggunaan tenaga tersebut sebagai sebahagian daripada campuran tenaga.

 

"Jepun pula sedang mempertimbangkan untuk menghidupkan semula beberapa reaktor nuklear yang sebelum ini dihentikan selepas insiden Fukushima Daiichi, menunjukkan perubahan pendekatan terhadap tenaga tersebut di peringkat global.

 

“Malaysia menyasarkan peralihan tenaga jangka panjang bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat serta mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, termasuk keperluan tenaga daripada sektor berintensif tinggi seperti pusat data,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DayOne Data Centres, Jamie Khoo berkata pihaknya terbuka kepada semua bentuk tenaga bersih termasuk solar, angin dan nuklear, selaras dengan keperluan operasi pusat data yang semakin meningkat.

 

Beliau berkata sekiranya terdapat peluang, inisiatif serta keperluan untuk kajian komersial berkaitan tenaga nuklear, pihaknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan dan industri bagi meneroka potensi teknologi tersebut.

 

“Tenaga nuklear bukan sesuatu yang baharu bagi syarikat itu kerana ia sudah menjadi sebahagian daripada campuran tenaga di beberapa pasaran operasi kami termasuk di Eropah,” katanya. - DagangNews.com