KUALA LUMPUR 22 Feb - Axiata Group Berhad mencatatkan kerugian berjumlah RM1.99 bilion pada tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding keuntungan bersih RM9.75 bilion pada FY2022.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 itu, Axiata bagaimanapun merekodkan hasil yang meningkat pada RM22 bilion (+9.9%) berbanding RM20.02 bilion pada FY22.
Ini mewakili kerugian sesaham sebanyak 21.7 sen pada FY23 berbanding pendapatan sesaham sebanyak 106.3 sen pada tahun sebelumnya, kata Axiata dalam pemakluman ke Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku keempat 2023 (4QFY23), Axiata mencatatkan kerugian berjumlah RM695 juta berbanding keuntungan RM9.95 bilion setahun sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil 4QFY23 meningkat 7.2% kepada RM5.8 bilion daripada RM5.4 bilion 4QFY22.
Jumlah kerugian bersih pada 4QFY23 adalah lebih kecil daripada RM797.41 juta pada 3QFY2023
Sementara itu, walaupun mengalami rintangan daripada keputusan untuk keluar dari Nepal dan Myanmar, Axiata Bhd berkata, ia mencatatkan prestasi positif daripada operasi pada FY23.
Menurut Axiata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (Patami) terjejas oleh kemerosotan aset Ncell dan Edotco Myanmar di samping kos kewangan bersih yang lebih tinggi.
Ia turut mencatatkan bahagian keputusan yang lebih rendah daripada CelcomDigi Bhd berbanding sumbangan Celcom sebagai anak syarikat milik penuh.
ARTIKEL BERKAITAN:Hasil penggabungan Celcom-Digi lonjak untung bersih Axiata kepada RM9.77 bilion pada FY22
"Kumpulan melepasi sasaran dengan prestasi teguh pada suku keempat dan tahun fiskal penuh yang berakhir pada 31 Disember 2023 (FY23), dipacu oleh prestasi asas yang kukuh merentasi kebanyakan pasaran di ASEAN dan Asia Selatan.
"Ini menunjukkan prestasi tahunan yang berdaya tahan walaupun dalam keadaan makroekonomi global yang mencabar," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Vivek Sood berkata, prestasi yang lebih baik itu meletakkan Axiata pada kedudukan yang lebih kukuh untuk meningkatkan kemajuannya dan melaksanakan keutamaan strategiknya.
"Kebanyakan syarikat telekomunikasi digital kami mencapai prestasi mereka yang paling menguntungkan, di samping memperoleh bahagian pasaran," katanya.
Pengerusi Axiata, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan pula berkata, kumpulan itu telah memberikan hasil yang kukuh pada 2023 dalam persekitaran kos dan operasi yang mencabar sambil meneruskan transformasi portfolio.
"Tindakan tegastelah diambil untuk keluar dari persekitaran operasi Nepal dan Myanmar yang semakin merosot pada FY23. Keputusan ini membolehkan pengurusan menumpukan pada aset yang boleh mencipta nilai masa depan untuk pemegang saham," ujarnya.- DagangNews.com








