Asia Digital Engineering komited tingkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor MRO serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Asia Digital Engineering komited tingkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor MRO serantau

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai - Asia Digital Engineering (ADE), cabang kejuruteraan dan baik pulih Capital A Bhd, menyatakan komitmennya untuk terus meningkatkan keupayaannya dalam menyokong pertumbuhan ekonomi dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di Asia.

 

ADE berkata, selaras dengan komitmennya terhadap kemajuan dan inovasi, pihaknya bersedia untuk mencapai beberapa penanda aras. 

 

Pada April lalu, ADE berjaya memperoleh pelaburan sebanyak AS$100 juta daripada OCP Asia Ltd. yang akan digunakan untuk pembinaan dan pengoperasian kemudahan hangar penyelenggaraan pesawat tercanggih baharu di KLIA Aeropolis, yang dijadualkan siap pada pertengahan 2024. 

 

Katanya, hangar itu akan menampilkan 14 baris penyelenggaraan, seterusnya mengukuhkan kapasiti ADE untuk memberikan perkhidmatan MRO peringkat tertinggi.

 

"ADE juga sedang mengambil langkah untuk menubuhkan sekolah kejuruteraan dan sedang berbincang dengan beberapa sekolah kejuruteraan berprestij yang berpotensi untuk bekerjasama. 

 

"Inisiatif ini bertujuan untuk mempertingkatkan set kemahiran bakal jurutera dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan. 

 

"ADE juga telah memeterai surat hasrat (LOI) dengan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia Universiti Kuala Lumpur (UniKL MIAT) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Metaverse untuk Penerbangan dan Aeroangkasa (MC4A)," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

ADE

 

 

Menurut ADE, kerjasama ini akan menyediakan generasi profesional akan datang untuk cabaran industri masa depan melalui pengalaman pembelajaran transformatif

 

Kepakaran ADE bukan sahaja diiktiraf di Malaysia, malah ia mendapat kelulusan daripada 145 negara, termasuk Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Kemboja, Singapura dan Nepal. 

 

"Memanfaatkan penempatan strategik hab AirAsia di Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, dan tidak lama lagi di Phnom Penh, ADE berfungsi sebagai rakan kongsi MRO yang boleh dipercayai untuk syarikat penerbangan yang beroperasi di rantau ASEAN dan seterusnya. Liputan meluas ini menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan sektor penerbangan serantau," katanya.

 

 

ADE

 

 

Terdahulu, ADE menerima lawatan delegasi Kementerian Kewangan yang diketuai timbalan menterinya, Steven Sim Chee Keong ke kompleks kejuruteraannya iaitu RedChain dan kunjungan tersebut menjadi suatu penanda aras bagi ADE dalam usahanya untuk meningkatkan ekonomi serta transformasi digital negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata, lawatan ini menandakan satu lagi pengiktirafan pihak kerajaan terhadap usaha ADE untuk memacu transformasi digital di Malaysia. 

 

"Kami komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan untuk meningkatkan keupayaan kami serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara," katanya. - DagangNews.com