Anak syarikat AME Elite jual 16 hektar tanah di Iskandar Puteri bernilai hampir RM210 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Anak syarikat AME Elite jual 16 hektar tanah di Iskandar Puteri bernilai hampir RM210 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Mei - AME Elite Consortium Bhd melalui dua anak syarikat milik penuhnya, telah bersetuju melupuskan 11 bidang tanah perindustrian di Iskandar Puteri, Johor kepada Digital Hyperspace Malaysia Sdn Bhd  yang keseluruhannya melibatkan nilai RM209.84 juta.

 

Tanah pegangan bebas berkeluasan 34.91 ekar (15.94 hektar) tersebut terletak di i-TechValley, Fasa 3 Kluster Perindustrian Logistik Selatan (SILC).

 

Pertimbangan pelupusan tanah milik anak syarikat AME Elite yang terlibat itu ialah Pentagon Land and Greenhill SILC yang mencapai harga RM138 kaki persegi.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AME Elite berkata, hasil tunai kasar akan digunakan untuk membiayai sebahagian pembangunan berterusan i-TechValley pada Fasa 3 SILC sambil meningkatkan kedudukan modal kerja.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Phillip Capital mulakan liputan terhadap AME Elite dengan penarafan 'beli', TP RM1.96 sesaham

 

Menurut kumpulan itu, kos asal pelaburan tanah oleh anak syarikatnya pada 30 Disember 2020, adalah kira-kira RM89.23 juta.

 

"Tanah berkenaan terletak kira-kira 3 kilometer dari bandar Gelang Patah dan 25 kilometer bandar raya Johor Bahru," katanya.

 

ame

 

Jelas AME Elite, Digital Hyperspace adalah anak syarikat sepenuhnya milik Quantum DC (HK) Limited. 

 

"Digital Hyperspace Malaysia terutamanya terlibat dalam menyediakan infrastruktur untuk penghosan, perkhidmatan pemprosesan data dan aktiviti yang berkaitan dengannya," ujarnya.

 

Berdasarkan penyata kewangan terkini setakat 31 Mac 2023, jumlah kos pelaburan tanah termasuk kos urus niaga dan pembangunan serta tidak termasuk kos kewangan berhubung penyaluran diskaun atas pertimbangan pembelian tertunda, adalah kira-kira RM84.15 juta.

 

AME Elite berkata ia dijangka merealisasikan anggaran keuntungan pro forma bersih kira-kira RM85.13 juta daripada cadangan penjualan itu, yang dijangka siap pada suku pertama 2025.- DagangNews.com