AmInvestment optimis prospek Axiata, banyak kerja naik taraf menara daripada pelancaran 5G kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment optimis prospek Axiata, banyak kerja naik taraf menara daripada pelancaran 5G kedua

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Ogos - AmInvestment Bank Research optimis mengenai prospek jangka sederhana hingga panjang Axiata Group Berhad dengan kumpulan ini dijangka mendapat manfaat daripada lebih banyak kerja naik taraf menara untuk edotco Group Sdn Bhd susulan pelancaran rangkaian 5G kedua.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain itu Axiata juga dijangka mendapat manfaat daripada pengurangan kerugian perbankan digital; pengurangan perbelanjaan faedah akibat mata wang tempatan yang lebih kuat dan sinergi penggabungan dengan Dialog-Airtel Sri Lanka.

 

"Kami percaya Axiata kini diniagakan pada penilaian yang murah pada 5 kali EV/EBITDA (nilai syarikat/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan), di bawah median sejarah 5 tahun sebanyak 6 kali," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment dalam pada itu menaikkan penarafan Axiata kepada 'Beli' daripada 'Pegang' dengan nilai wajar (FV) berasaskan SOP yang lebih tinggi iaitu RM3.50 sesaham berbanding RM3 sebelum ini.

 

"Kami berpendapat bahawa penilaian kini menarik memandangkan harga saham telah jatuh sebanyak 10% dalam tempoh tiga bulan lepas," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: U Mobile jalin kerjasama dengan Edotco bagi percepatkan pelancaran rangkaian 5G kedua

 

Menurut firma penyelidikan itu, keuntungan bersih teras (CNP) Axiata untuk separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) sebanyak RM330 juta (tidak termasuk item luar biasa berjumlah RM192 juta dari perbelanjaan transaksi penggabungan, kerugian forex, kos lindung nilai, keuntungan XL dari penjualan, susut nilai aset, dan pelunasan PPA) adalah melebihi jangkaan, mencatatkan 61% daripada anggaran pendapatan.

 

Oleh itu, AmInvestment menaikkan anggaran pendapatan Axiata bagi FY24, FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 14% hingga 20% untuk mengambil kira prestasi yang lebih kuat daripada syarikat operasi.

 

"Keputusan yang memberangsangkan ini berpunca daripada peningkatan hasil 8% YoY kepada RM11.4 bilion pada 1HFY24 berbanding RM10.7 bilion pada 1HFY23. 

 

"Ini didorong oleh pertumbuhan hasil di seluruh syarikat operasi (OpCos) iaitu XL (+8% YoY), Robi (+5% YoY), Smart (+11% YoY) dan edotco (+13% YoY)," ujarnya.

 

Jelas AmInvestment,pertumbuhan kukuh bagi XL, Robi, dan Smart didorong oleh peningkatan trafik data, pertambahan langganan dan langkah-langkah pengoptimuman kos. 

 

"Pertumbuhan hasil edotco sebanyak 13% YoY pada 1HFY24 disokong oleh peningkatan hasil co-location dan build-to-suit di pasaran frontier utama.

 

"CNP 2QFY24 meningkat sebanyak 22% kepada RM181 juta daripada RM149 juta pada 1QFY24. Ini boleh dikaitkan dengan peningkatan hasil (+2% QoQ) dan pengurangan kerugian pertukaran wang asing bersih (-22% QoQ)," jelasnya.- DagangNews.com