KUALA LUMPUR 16 Mei - AmInvestment Bank Research (AmInvestment) mengekalkan unjuran pendapatan FY23-FY24 bagi Ancom Nylex Berhad selepas mengkaji pelbagai pandangan dalam satu tinjauan baru-baru ini.
Firma itu berkata, berikutan kemerosotan harga saham kumpulan sebanyak 20% daripada kemuncaknya pada Februari 2023, pihaknya menjalankan tinjauan terhadap lapan pengurus dana bagi melihat kebimbangan utama mereka selain pandangan optimis firma itu terhadap saham itu.
"Berdasarkan tinjauan itu, terdapat tiga kebimbangan utama termasuk kejatuhan harga bahan kimia pertanian China yang boleh memberi kesan kepada harga jualan purata (ASP) bagi segmen bahan kimia pertanian kumpulan itu.
"Kelembapan dalam ekonomi global boleh menjejaskan permintaan untuk bahan kimia perindustrian dan bahan kimia pertanian selain kemungkinan kelewatan pentauliahan dalam pembuatan produk T dan S daripada jadual semasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, harga jualan untuk bahan kimia pertanian aktif generik seperti Glyphosate, Glufosinate dan 2.4-D telah menurun sebanyak 52%-76%, menurut AgriBusiness Global.
Katanya, ia disebabkan oleh pengeluar kimia pertanian China yang mengembangkan kapasiti ditambah dengan permintaan yang lebih rendah akibat lebihan stok oleh pelanggan yang terlebih beli pada 2020-21 dan strategi "China+1" dengan pelanggan barat memperoleh dari negara lain.
Firma itu berkata, ASP untuk 4 AI utama iaitu Monosodium Methanearsonate (MSMA), Diuron, Timber Preservatives dan Monex HC/Dasaflo menurun hanya 10%-15% daripada kemuncaknya pada Jun-Disember 2022.
"Kami percaya bahawa penurunan ASP kumpulan disebabkan turun naik harga minyak mentah pada separuh kedua 2022 0memandangkan minyak mentah adalah bahan mentah utama produk ini.
"Namun begitu, harga minyak mentah telah stabil dalam julat AS$70-90/tong sejak lewat 2022.
"Kami percaya ASP untuk segmen kimia pertanian akan bertambah baik dengan unjuran harga minyak kami yang tidak berubah sebanyak AS$80-90/tong untuk 2023," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' pada harga wajar (FV) RM1.48 sesaham. - DagangNews.com








