KUALA LUMPUR 12 Jun – Kerjaya Prospek Group Berhad mencatat satu lagi pencapaian penting apabila memeterai perjanjian pembangunan tanah seluas 14 hektar di kawasan Perai, Pulau Pinang.
Menurut RHB Research, projek terbaharu yang melibatkan tanah milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) itu berpotensi menjana nilai pembangunan kasar (GDV) antara RM1.5 bilion hingga RM1.7 bilion.
Justeru, ia mengekalkan saranan beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM3.19 daripada RM3.15, mencerminkan potensi kenaikan 48% selain pulangan dividen FY26 diunjurkan 6%.
"Projek ini dibangunkan menerusi Rivanis Ventures (RV), syarikat usaha sama (JV) antara Kerjaya Prospek dan Aspen Vision Development yang ditubuhkan pada November 2024," jelas firma tersebut.
Tambah RHB Research, RV pada 11 Jun 2026 menandatangani perjanjian muktamad dengan RAC bagi membangunkan tanah berkenaan yang terletak strategik antara Sungai Perai dan Taman Inderawasih.
Sebagai balasan kepada pembelian tanah itu, RV menyediakan pulangan bernilai RM156.5 juta kepada RAC merangkumi bayaran RM54.1 juta dan pembinaan 338 unit rumah mampu milik bernilai RM102.4 juta.
Artikel berkaitan: Kerjaya Prospek, Aspen bangunkan projek pembangunan bercampur RM156.49 juta di Perai

Projek ini melengkapkan pembangunan hartanah Kerjaya Prospek, termasuk projek di Puchong, Selangor dengan GDV dianggarkan RM800 juta dan Tanjung Bunga, Pulau Pinang dengan GDV sekitar RM830 juta.
"Bagaimanapun kami percaya pelancaran projek baharu itu berkemungkinan tidak berlaku dalam FY26 kerana kumpulan tiada merancang sebarang pelancaran projek baharu tahun ini," jelas RHB Research.
Sebaliknya projek itu bakal menjadi pemangkin pertumbuhan jangka panjang namun JV tersebut turut ada hak penolakan pembelian tanah bersebelahan seluas 7.9 hektar bagi pembangunan pada masa depan.
Dari segi kontrak pembinaan, Kerjaya Prospek sudah memperoleh pelbagai projek baharu bernilai RM1.1 bilion setakat tahun ini, mewakili lebih separuh daripada sasaran asal RM2 bilion bagi FY26.
Sehubungan itu, RHB Research meningkatkan unjuran perolehan kontrak baharu FY26 kepada RM2.3 bilion daripada RM2 bilion sebelum ini bagi mengambil kira potensi banyak projek tambahan.
"Walaupun mengekalkan unjuran pendapatan FY26, kami menaikkan ramalan keuntungan FY27 dan FY28 antara 1% hingga 2% berikutan prospek pertumbuhan kumpulan ini yang lebih kukuh," katanya.
Firma tersebut namun mengingatkan masalah kelembapan pasaran hartanah dan tekanan kos yang berpanjangan kekal sebagai risiko utama kepada prestasi Kerjaya Prospek. - DagangNews.com








