AmInvestment kekal positif saham CTOS, pelbagai pendekatan pacu pertumbuhan masa depan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AmInvestment kekal positif saham CTOS, pelbagai pendekatan pacu pertumbuhan masa depan

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMUR 2 Ogos - AmInvestment Bank Research mengekalkan pandangan positif terhadap saham CTOS Digital Holdings Berhad berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada syarikat itu berhubung status perniagaan skor kreditnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, keputusan Mahkamah Rayuan bulan lalu telah membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan CTOS tidak boleh memberikan skor kredit.

 

"Kami terus mengekalkan pandangan positif terhadap saham ini kerana pendekatan pelbagai aspek CTOS untuk memacu pertumbuhan pendapatan masa depan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut AmInvestment, selain itu, segmen perniagaan antarabangsa telah mula memberikan sumbangan positif terhadap prestasi kewangan kumpulan pada tahun 2024.

 

"CTOS dijangka melancarkan perniagaan antarabangsa komersialnya di Singapura dengan melantik kakitangan utama untuk mendapatkan pelanggan syarikat multinasional (MNC) dan memanfaatkan peluang serantau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: CTOS berhak terbit skor kredit, Mahkamah Rayuan ketepikan saman pengusaha resort

 

"Kumpulan juga terus mengintegrasikan kepakaran yang telah dikenali dengan pandangan pasaran tempatan untuk menawarkan rangkaian penyelesaian yang berfokuskan kredit, seterusnya memberikan kelebihan kompetitif untuk mengembangkan jejaknya di pasaran ASEAN," jelasnya.

 

Tambah AmInvestment, CTOS juga merancang untuk memberi tumpuan kepada segmen langsung kepada pengguna (D2C) dengan melibatkan 16 juta pengguna kredit aktif di Malaysia.

 

Katanya, ini akan dilakukan melalui inisiatif literasi kewangan yang disasarkan, kempen pemasaran digital, dan perkongsian strategik untuk mengukuhkan kehadiran pasaran dan kepercayaan pengguna terhadap produknya.

 

AmInvestment juga mengekalkan penarafan 'Beli' untuk CTOS  dengan nilai wajar (FV) tidak berubah pada  RM1.80 sesaham.

 

"Kami mengekalkan ramalan keuntungan FY24F-26F kami kerana kami menganggap keputusan 1HFY24 CTOS berada dalam jangkaan. Keuntungan bersih teras 1HF24 sebanyak RM46.3 juta mewakili 36% daripada ramalan penuh tahun kami dan consensus," ujarnya. - DagangNews.com