KUALA LUMPUR 3 Mei - AmInvest Research mengurangkan unjuran pendapatan Globetronics Technology Berhad bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 20 hingga 51%.
Firma penyelidikan itu menyemak turun unjuran tersebut dengan mengandaikan anggaran jualan yang lebih konservatif, susulan hasil suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) kumpulan yang telah meleset daripada jangkaan.
“Keuntungan bersih teras 1QFY23 kumpulan sebanyak RM3 juta yang telah menyusut 80% suku ke suku (QoQ) dan 67% tahun ke tahun (YoY) hanya menyumbang 7% daripada pendapatan FY23 terdahulu kami dan 8% daripada konsensus,” ulas firma itu dalam nota hari ini.
Menurut firma itu, pendapatan kumpulan pada suku tersebut merosot sebanyak 24% YoY kepada RM33 juta akibat pemuatan volum yang lembap, terutamanya, sumbangan daripada pemasangan dan pembuatan penderia cahaya, gerak isyarat dan boleh pakai menurun kepada 55% daripada jumlah pendapatan 1QFY23 daripada 62% pada tahun kewangan 2022 (FY22), yang mungkin disebabkan oleh permintaan lemah untuk telefon pintar di seluruh dunia.
Di samping itu, kadar penggunaan kemudahan pengeluaran kumpulan yang lebih rendah menjejaskan keumpilan kendalian Globetronics Technology dan menyaksikan kemerosotan 11% mata YoY pada margin operasi 1QFY23.
Peningkatan dalam kos buruh disebabkan pelarasan gaji minimum dan kenaikan tarif elektrik juga menyumbang kepada lonjakan overhed syarikat.
Walaupun baki FY23 dijangka akan terus mencabar, firma itu berkata syarikat tersebut mempunyai pelbagai projek dalam perancangan yang boleh menyumbang kepada pemulihan dalam pendapatan, di samping pemulihan pasaran lebih luas.
“Kumpulan itu sedang membangunkan bersama penderia generasi akan datang dengan salah seorang pelanggannya.
Globetronics Technology juga terus terlibat secara aktif dengan bakal pelanggan baharu sebagai sebahagian daripada rancangan pertumbuhannya pada FY24,” tambahnya.
Firma tersebut berkata saham syarikat itu kelihatan tidak menarik pada paras semasa 17 kali FY24 PE, berhampiran purata lima tahun, melebihi purata lima tahun 16 kali PE, namun, ia menawarkan hasil dividen FY24 yang lumayan sebanyak 5%.
AmInvest mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah sebanyak 99sen sesaham daripada RM1.12. -DagangNews.com








