AME Elite tarik Colorcon Inc kembangkan operasinya di i-TechValley | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AME Elite tarik Colorcon Inc kembangkan operasinya di i-TechValley

Majlis pecah tanah disempurnakan oleh (dari kiri) Kelvin Lee Chai; Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han; Pengarah Urusan Colorcon bagi Wilayah Timur Laut dan Tenggara, Willem Hoogwater; Naib Presiden Operasi Global Colorcon, Daniel Wakefield dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) MIDA, Lim Bee Vian
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Jun - Pembekal teknologi farmaseutikal global, Colorcon Inc (Colorcon) akan membina kemudahan pembuatan pertamanya di Asia Tenggara yang terletak di i-Techvalley, menurut AME Elite Consortium Berhad.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, AME Elite berkata anak syarikat peneraju farmaseutikal itu, Colorcon Malaysia Sdn Bhd akan membina kemudahan tersebut yang akan melengkapkan 11 kilang sedia adanya di Jepun, China dan India di Asia Pasifik, serta di United Kingdom, Perancis dan Amerika Utara.

 

Colorcon merupakan syarikat global yang menghasilkan eksipien atau bahan farmaseutikal lengai, khusus untuk dos oral pepejal dalam industri farmaseutikal dan pemakanan.

 

Menurut kumpulan itu, i-TechValley yang terletak di hab perubatan dan penjagaan kesihatan Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SILC), Johor akan menjadi lokasi pembinaan kemudahan pembuatan baharu itu dengan anggaran kawasan binaan seluas 90,000 kaki persegi di atas tanah seluas enam hektar dan disasarkan untuk beroperasi pada 2025.

 

“Ia akan meningkatkan keupayaan pengeluaran Colorcon untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk produk salutan filem berkualiti tinggi dan inovatif daripada syarikat farmaseutikal dan pemakanan di Asia Tenggara, Australia, New Zealand, Korea, Taiwan dan Pakistan,” katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan AME Elite, Kelvin Lee Chai berkata komitmen kumpulan untuk memupuk ekosistem bertaraf dunia dan mewujudkan hab perubatan dan penjagaan kesihatan khusus di i-TechValley, SILC telah memainkan peranan penting dalam menarik syarikat global untuk memudahkan strategi pertumbuhan mereka.

 

“Dengan menyertai komuniti organisasi global terkenal yang semakin berkembang di i-TechValley, Colorcon boleh memanfaatkan infrastruktur teguh dan kebolehcapaian kami ke pasaran utama bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat untuk produk farmaseutikal dan pemakanan di rantau ini.

 

“AME berusaha untuk terus menarik pelaburan terkemuka ke taman perindustrian kami, justeru meningkatkan kualiti pelaburan ke negeri Johor dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dengan teknologi moden selaras dengan kemajuan antarabangsa,” ujar beliau.

 

Menurut AME Elite, kemudahan pembuatan baharu itu akan mematuhi piawaian keta amalan pengilangan baik (GMP) IPEC dan memperoleh pensijilan halal agar pengeluaran produk selamat dan berkualiti tinggi.

 

Selain itu, reka bentuk seni bina kemudahan itu akan merangkumi elemen mampan yang menjadikannya layak untuk pensijilan indeks bangunan hijau (GBI) dan pensijilan LEED.

 

Sejak pelancaran rasminya pada Oktober 2022, i-TechValley AME di SILC telah diiktiraf sebagai hab penting untuk industri perubatan dan penjagaan kesihatan, menarik pelbagai organisasi global yang ingin mengembangkan operasi mereka di Asia Tenggara. -DagangNews.com