KUALA LUMPUR 27 Feb - AirAsia terus menjadikan perjalanan udara lebih lancar dan berpatutan antara Malaysia dan India dengan 14 laluan sebagai kumpulan dan merancang untuk mengembangkan rangkaiannya di seluruh India.
Syarikat penerbangan itu berkata, komitmen itu disahkan oleh Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam, pada sebuah majlis bersama-sama media di Chennai.
Melalui rangkaian yang kukuh katanya, AirAsia telah menerbangkan lebih daripada lima juta tetamu antara India, Malaysia dan lain-lain dalam tempoh enam tahun lalu.
Jumlah ini dijangka akan meningkat lebih tinggi berikutan pengumuman kerajaan tentang kemasukan tanpa visa bagi warganegara India ke Malaysia, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, pihaknya berbesar hati apabila dapat mendemokrasikan perjalanan udara dan menjadikannya mudah diakses di salah satu pasaran terbesar mereka iaitu India.
"Kami berharap untuk terus merealisasikan impian semua untuk terbang ke destinasi impian mereka dan pengembangan luas ke India merupakan bukti usaha kami untuk memastikan perjalanan udara boleh dicapai semua.
"Lebih dari dua dekad yang lalu, AirAsia telah memperkenalkan tambang perjalanan udara berpatutan di seluruh rantau ini dan kini kami berbangga untuk terbang ke bandar-bandar utama di India dari dua hab dan berharap untuk terus mengembangkannya," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India, Saravana Kumar Kumaravasagam dan Pengarah Pelancongan Malaysia di India Selatan dan Sri Lanka, Ruzaidi Abd. Rahim.
Saravana pula berkata, beliau menghargai usaha AirAsia dalam mewujudkan kesalinghubungan antara kedua-dua negara dan memudahkan perjalanan dengan tambang berpatutan di samping merealisasikan impian para pelancong untuk menerokai India dan Malaysia.
"Kami berharap untuk melihat peningkatan pelancongan lebih tinggi terutamanya dengan pengumuman inisiatif tanpa visa oleh Kerajaan Malaysia dan menawarkan lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu, AirAsia menawarkan tambang promosi ke India bermula daripada RM249 sehala untuk semua penerbangan dari Kuala Lumpur. Promosi itu berlangsung mulai hari ini hingga 10 Mac 2024, untuk tempoh perjalanan sehingga 30 Mac 2024.
AirAsia kini terbang secara terus dari Kuala Lumpur dan Bangkok ke 14 destinasi menakjubkan di seluruh India.
Dari Kuala Lumpur, AirAsia mengendalikan 56 penerbangan mingguan bagi penerbangan jarak dekat oleh AirAsia Malaysia seperti Trivandrum, Chennai, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, Bengaluru, Kolkata, Jaipur (bermula pada 21 April 2024), Visakhapatnam (26 April 2024) dan Ahmedabad (1 Mei 2024).
Bagi penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia mengendalikan dua laluan secara terus dari New Delhi dan Amritsar ke Kuala Lumpur dengan lapan penerbangan mingguan. Dari Bangkok, AirAsia mengendalikan 50 penerbangan mingguan ke Guwahati dan Lucknow melalui Thai AirAsia. - DagangNews.com








