AHB umum agihan pendapatan interim 2.50 sen seunit untuk tempoh 6 bulan berakhir 31 Mac 2024 | DagangNews Skip to main content

AHB umum agihan pendapatan interim 2.50 sen seunit untuk tempoh 6 bulan berakhir 31 Mac 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) dan Maybank Asset Management Sdn. Bhd. (MAM) hari ini mengumumkan agihan pendapatan interim bagi Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) sebanyak 2.50 sen seunit bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Mac 2024.

 

PHB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan membuat pembayaran keseluruhan berjumlah RM116.6 juta kepada kira-kira 80,000 pemegang unit.

 

"Pengagihan itu termasuk pendapatan asas sebanyak 2.20 sen seunit dan pengagihan bonus sebanyak 0.3 sen seunit. Pembayaran bonus dibuat oleh PHB selaku penaja AHB dan akan dibayar kepada 1,000,000 unit pertama yang dimiliki oleh setiap pemegang unit.

 

"Pendapatan pemegang unit tidak hanya dikecualikan daripada cukai, tetapi ia juga telah dizakatkan. Bagi tempoh ini, dana akan mengagihkan pendapatan dalam bentuk wang tunai di mana wang tersebut akan dikreditkan terus ke akaun bank pemegang unit pada 15 April 2024," katanya.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, pengagihan itu menunjukkan strategi pelaburannya yang kukuh dalam menguruskan portfolio hartanah.

 

ahb
Mohamad Damshal Awang Damit

 

Beliau berkata, sejumlah 1 bilion unit tambahan AHB yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober 2023 hampir keseluruhannya telah dilanggan dan ini menunjukkan dana pendapatan AHB adalah stabil dan dipercayai.

 

“PHB terus memberikan nilai kepada pemegang unit AHB, bukan hanya melalui pembahagian pendapatan yang kompetitif, malah melalui penyelesaian kewangan yang disertakan dalam AHB seperti Takaful dan wakaf. 

 

"Kami membina portfolio AHB kepada RM20 bilion menjelang 2030, dengan secara selektif memperoleh hartanah yang menghasilkan pendapatan serta mengambil bahagian dalam pembangunan hartanah dalam sektor sasaran seperti penjagaan kesihatan, industri dan pendidikan," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Muhammad Hishamudin Hamzah berkata, ekonomi Malaysia dijangka kukuh pada tahun ini dan pihaknya menyeru orang ramai terutamanya belia, untuk mula  melabur di dalam AHB.

 

"Menerusi pelaburan itu, mereka boleh meningkatkan kapasiti untuk mencapai matlamat kewangan jangka panjang, meningkatkan ketahanan kewangan serta memastikan jaringan keselamatan kewangan yang stabil,” katanya. - DagangNews.com