Agape biayai pembinaan 50 stesen pengecas EV di Pahang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Agape biayai pembinaan 50 stesen pengecas EV di Pahang

ATPC memeterai MoA dengan Volt Industries, yang mana syarikat itu memperoleh 51% kepentingan dalam Volt Industries, pemaju stesen pengecas EV yang berpangkalan di Pahang. 
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - Agape ATP Corporation (ATPC) akan membiayai pembinaan sebanyak 50 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) oleh Volt Industries Sdn Bhd di Pahang sebagai sebahagian daripada strategi syarikat membangun dan menawarkan rumusan tenaga mampan.

 

ATPC baru-baru ini menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Volt Industries, dengan syarikat itu memperoleh 51% kepentingan dalam Volt Industries, pemaju stesen pengecas EV yang berpangkalan di Pahang. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agape, Datuk Seri Dr How Kok Choong berkata, MoA itu menandakan pengembangan ATPC ke dalam ruang tenaga mampan, mencerminkan usaha mereka di peringkat tempatan dan global. 

 

"Jalinan perkongsian dengan Volt Industries ini, kami bukan sekadar membina stesen pengecasan, kami memperkasakan masa depan Malaysia yang mampan. Kerjasama ini menekankan komitmen kami yang tidak berputus asa untuk menerajui transformasi hijau di pentas global.

 

"Tujuan utama perkongsian transformatif ini adalah bagi penerokaan strategik ATPC ke dalam Volt Industries, yang mana pengambilalihan ini menggariskan rancangan ATPC untuk berada di barisan hadapan dalam transformasi EV Malaysia. Projek ini akan dibiayai secara persendirian, tanpa subsidi kerajaan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Di bawah MoA itu, ATPC akan memastikan daya maju kewangan projek dengan mendapatkan pembiayaan utama serta mencari modal tambahan.

 

Volt Industries akan memulakan kerja asas projek, termasuk memperoleh semua permit dan lesen yang diperlukan serta memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap peraturan tempatan bersama-sama dengan kerja pembinaan.

 

 

agape
Datuk Seri Dr How Kok Choong

 

 

CEO Volt Industries, Datuk Tan Say Jim pula berkata, kepakaran teknikal pihaknya merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada reka bentuk kepada operasi dan mereka melihat kepakaran dan kekuatan dalam memuji strategi dan hala tuju korporat ATPC. 

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan ATPC untuk melancarkan 50 stesen pengecas EV di seluruh Pahang yang akan membentuk semula landskap pengangkutan negeri ini," katanya.

 

Dalam pada itu, ATPC memeterai MoA dengan Oriental Industries Enterprise Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memberi tumpuan kepada pembangunan bateri EV yang canggih, untuk membentuk Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang menyediakan dan mempromosikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. 

 

ATPC dan OIE akan memegang 50% saham dalam SPV. - DagangNews.com