Affinity Equity Partners bida Island Hospital Pulau Pinang bernilai RM4 bilion — WSJ | DagangNews Skip to main content

Affinity Equity Partners bida Island Hospital Pulau Pinang bernilai RM4 bilion — WSJ

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 28 Feb - Firma Affinity Equity Partners akan memulakan proses pembidaan pada April untuk penjualan Island Hospital di Pulau Pinang, yang juga satu daripada penyedia penjagaan kesihatan terbesar di Malaysia, yang berkemungkinan mencecah lebih AS$800 juta (RM3.81 bilion).

 

Memetik pihak yang maklum dengan proses itu, Wall Street Journal (WSJ) pada hari Isnin melaporkan bahawa salah seorang daripada mereka berkata syarikat asing dan domestik, serta beberapa firma ekuiti swasta antarabangsa, telah menyatakan minat untuk membeli Island Hospital.

 

WSJ berkata aset itu mungkin bernilai RM4 bilion, menurut sumber.

 

 

island hospital

 

 

Penjualan itu yang dirancang pada 2020 tetapi tidak bergerak disebabkan pandemik COVID-19, kini kembali mendapat tarikan, selepas penjualan AS$1.2 bilion kumpulan hospital swasta Asia Ramsay Sime Darby baru-baru ini. 

 

Ramsay Sime Darby Health Care, usaha sama 50-50 antara pengendali hospital Australia Ramsay Health Care dan konglomerat Malaysia Sime Darby Bhd, telah dijual kepada pengendali hospital yang disokong TPG Columbia Asia pada November 2023.

 

Sementara itu, Island Hospital yang memiliki 600 katil menyediakan perkhidmatan khusus, termasuk kardiologi, onkologi klinikal, pediatrik dan pembedahan plastik. Ia juga menawarkan program hospital pelancongan perubatan untuk pesakit di Asia Tenggara.

 

 

Affinity Equity Partners

 

 

WSJ berkata salah seorang daripada mereka berkata memandangkan minat dalam sektor penjagaan kesihatan di rantau ini, penjualan hospital itu berkemungkinan akan dimuktamadkan dalam tempoh empat hingga enam bulan.

 

Sektor penjagaan kesihatan kekal sebagai pasaran yang menarik untuk pelabur ekuiti swasta dan syarikat lain yang ingin mengembangkan perniagaan mereka, terutamanya di Asia, di mana terdapat permintaan yang ketara.

 

Pada 2019, TPG dan konglomerat Malaysia Hong Leong Group memperoleh Hospital Columbia Asia di Asia Tenggara dalam transaksi bernilai AS$1.2 bilion.

 

Pada keseluruhannya, Affinity Equity Partners mempunyai aset dan dana bernilai AS$14 bilion di bawah pengurusan, dengan lima pejabat di Asia dan pelaburan di 11 negara.

 

Pelaburannya termasuk Shinhan Financial Group Korea Selatan, syarikat perkhidmatan penstriman video Indonesia Vidio, syarikat makanan dan minuman Australia Prime Foods, dan Tegel Foods New Zealand. - DagangNews.com